Malaysia Dateline

PH tolak cadangan Mageran, demokrasi perlu dipulihkan

Pakatan Harapan hari ini menolak cadangan untuk mewujudkan sebuah Majlis Gerakan Negara (Mageran) bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi negara pada waktu ini terutama berkait COVID-19.

Pakatan Harapan bagaimanapun tegas dengan pendirian dan konsistan bahawa Darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.

Tegas Pakatan Harapan, penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu COVID-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen.

Keputusan Pakatan Harapan itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Terdahulu, Tun Mahathir Mohamad menegaskan perlunya penubuhan Mageran bagi menangani empat masalah utama ketika wabak Covid-19 pada masa ini.

Beliau memberitahu cadangan penubuhan Mageran 2.0 itu disuarakannya semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.