Malaysia Dateline

Mesyuarat jawatankuasa pilihan raya PH

PH tubuh sekretariat hadapi PRU14

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PH Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) petang tadi.

Beliau juga berkata, PH sebulat suara bersetuju untuk menyediakan bilik operasi sepenuh masa yang akan menyediakan segala maklumat dan data berhubung persiapan pilihan raya.

“Di samping itu, kita juga memutuskan untuk memberikan tumpuan khusus kepada kawasan-kawasan pilihan raya tertentu.

“(Ia) untuk memastikan supaya kita boleh mendapat sejumlah kerusi-kerusi yang boleh kita menangi untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya akan datang,” katanya yang juga Presiden PPBM.

Gabungan itu, katanya lagi, turut memutuskan untuk membentuk jawatankuasa pilihan raya di peringkat negeri dan di peringkat kawasan-kawasan Parlimen yang akan ditandingi kelak.

“Ini bertujuan untuk kita mendapat tahu tentang segala persiapan yang telah dan akan dilakukan oleh parti kita di peringkat negeri dan kawasan-kawasan di seluruh negara.

“Dan kita nanti akan memantau persiapan itu dan akan menghantar pasukan-pasukan untuk membuat penaksiran tentang sejauh mana persiapan itu telah dibuat, apakah kelemahan, dan usaha penambahbaik yang perlu dilakukan,” katanya.

Naib Presiden PH itu juga berkata, segala gerak kerja adalah berdasarkan persetujuan secara bersama dan bukan didominasi oleh mana-mana parti komponen dalam PH.

“Segala gerak kerja kita adalah atas nama Pakatan Harapan. Bukan atas nama PPBM, ataupun Keadilan, Amanah, ataupun DAP,” tegasnya.

Katanya, matlamat utama PH ketika ini adalah untuk memperoleh kemenangan dalam pilihan raya akan datang bagi menggantikan kerajaan BN.

“Sebab itu kita mengenepikan apa-apa perbezaan, apa lagi penekanan pada soal parti-parti tertentu sahaja.

“Apa yang penting sekarang ini adalah kita bertanding menggunakan satu simbol, satu logo, yang telah diputuskan majlis presiden,” katanya.