Malaysia Dateline

PH tuntut kerajaan salur bantuan tunai kepada pekerja

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan menuntut kerajaan memberi jaminan keselamatan
ekonomi dengan menyalurkan bantuan tunai segera dan secara menyeluruh kepada semua pekerja Malaysia di semua sektor.

Dalam satu kenyataan bersama, PH menegaskan bantuan perlu disampaikan kepada mereka yang terlibat dalam ‘gig economy’, seperti pemandu e-hailing dan pekerja harian yang hilang punca pendapatan.

Menurutnya, pengkhususan juga perlu diberi kepada pekerja Malaysia di Singapura yang mungkin tidak mendapat gaji dan diberhentikan selepas Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa di Malaysia.

“Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan bagi membantu peniaga Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) merentas semua sektor, terutamanya pelancongan dan runcit.

“Pengecualian bayaran cukai dan lesen untuk tiga bulan akan datang juga perlu dilaksanakan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat bersama antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Presiden DAP, Lim Guan Eng.

Pada masa sama, PH berkata, pinjaman perlu dipermudahkan untuk membolehkan pekerja dan perniagaan kekal bertahan.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) harus menyediakan dana pinjaman tanpa faedah untuk memudahkan modal kerja selagi diperlukan untuk semua sektor ekonomi.

Untuk rekod, pada masa ini, kadar pembiayaan Kemudahan Bantuan Khas yang disediakan untuk mengurangkan kejutan Covid-19 adalah pada 3.75 peratus.

Selain itu katanya, moratorium selama tiga bulan amat penting untuk dilaksanakan bagi semua pembayar pinjaman demi melindungi pekerjaan tempatan dan menyelamatkan perniagaan dalam negara.

“Ini merupakan peranan pihak bank bagi menjamin keberlangsungan peniagaan dan pekerja untuk mengelakkan berlakunya keruntuhan sistemik (“systemic collapse”).

“Insentif tambahan untuk pekerja kerajaan barisan hadapan (frontliners). Rakyat Malaysia amat menghargai pengorbanan penjawat awam yang merupakan pejuang baris hadapan menentang pandemik Covid-19.

“Oleh itu, insentif tambahan dan kemudahan diperlukan bagi menyokong mereka dalam menjalankan tugas yang berisiko untuk melindungi kesihatan rakyat Malaysia,” katanya lagi.