Malaysia Dateline

PH tuntut kerajaan segera bawa pulang rakyat Malaysia terkandas di India

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan, menggesa kerajaan agar segera mengusahakan perbincangan bersama Kerajaan India untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di negara itu.

Dalam satu kenyataan bersama, PH berkata, terdapat lebih 1,000 rakyat Malaysia masih terkandas di India yang mana ramai dikalangan mereka berada di Daerah Cochin (Kerala), Trichy dan Chennai (Tamil Nadu).

“Difahamkan sebelum ini ada pihak yang mengusahakan penerbangan catar untuk membawa pulang rakyat Malaysia, namun masih ramai yang terkandas di India.

“Keadaan semakin meruncing memandangkan India telah melaksana penutupan penuh (full lockdown) negara itu selama tiga minggu bermula semalam.

“Oleh itu, kami memohon agar Wisma Putra segera memperincikan jumlah rakyat Malaysia yang masih berada di India, serta memastikan hal ehwal dan kebajikan mereka terjaga,” katanya.

Kenyataan bersama itu dibuat oleh Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Dalam kenyataan itu juga, PH menegaskan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu mengotakan janjinya yang tidak mahu sesiapa pun tertinggal.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengotakan janji tersebut dan memastikan semua rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara segera dibawa pulang,” katanya.