Gabungan PH, Umno dan Pas boleh bentuk kerajaan yang stabil sekarang

Oleh Oleh MALAYSIA DATELINE

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husam berpendapat, Pakatan Harapan (PH) perlu bekerjasama dengan Umno dan Pas sekarang bagi membentuk sebuah kerajaan baharu Malaysia yang lebih stabil.

Bercakap dalam wawancaranya dengan Utusan, bekas naib presiden AMANAH itu berkata, kestabilan politik adalah sangat penting sekarang ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ekonomi negara jatuh merudum.

“Negara kita mesti ada kestabilan politik. Nak ada kestabilan, kena ada tunjang. PH dah ada tunjang iaitu 92 kerusi dan Umno pula tunjang kedua terbesar.

“Umno parti paling besar dalam Perikatan Nasional (PN). Bersatu ada berapa orang? Dari segi susunan itu dalam politik, bila anda yang sedikit tunggang yang besar, itu sebab jadi tidak stabil,” kata beliau dalam wawancara itu.

Katanya, negara kena berada dalam keadaan stabil sekarang menjelang masa pilihan raya seterusnya melalui gabungan PH, Umno dan Pas.

“Kita masih ada dua tahun setengah lagi untuk tempoh Parlimen tamat. Jadi, berikan mandat balik kepada PH dan Umno boleh jadi tunjang kedua. Pas pula boleh jadi tunjang ketiga. Kita bukan nak buang Pas terus,” kata beliau dalam wawancara itu.

Bagaimana mahu melakukannya, Husam menyerahkannya kepada pucuk pimpinan ketiga-tiga parti itu.

Beliau juga berpendapat, tidak semestinya kesemua pihak berada dalam gabungan itu tetapi ketiga-tiganya perlu ada dalam kerajaan.

“Bukan semestinya dia bersama kita dalam gabungan. Tetapi kita bersama dalam pemerintahan supaya negara stabil dan maju, tolong rakyat dan kembangkan balik ekonomi negara.

“Saya tak kata mesti ada coalition atau mesti ada pakatan yang muktamad. Tetapi dalam keadaan dekat ini, PH dan Umno adalah dua tunjang utama dari segi bilangan kerusi,” kata beliau.