Malaysia Dateline

PH wajar diberi peluang bentuk kerajaan,kata Patriot

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) berpendapat, Pakatan Harapan (PH) wajar diberikan peluang untuk membentuk kerajaan walaupun ianya kerajaan minoriti.

Presiden Patriot, Briged Jeneral Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, ini kerana PH merupakan kumpulan yang menerima paling banyak sokongan ahli parlimen.

“Memandangkan PH adalah blok yang mempunyai paling banyak sokongan ahli parlimen, maka mereka wajar diberi peluang membentuk kerajaan, walaupun kerajaan itu nanti adalah kerajaan minoriti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Arshad menyifatkan, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan adalah sebagai ‘tidak pragmatik’ dan ‘tidak demokratik’.

Katanya, cadangan penubuhan kerajaan berkonsepkan perpaduan itu juga adalah satu ‘autokrasi’.

“Idea kerajaan perpaduan tersebut adalah tidak pragmatik, malah tidak demokratik. Dr Mahathir sebagai perdana menteri memegang kuasanya. Secara dasarnya, ia adalah autokrasi.

“Dr Mahathir mencadangkan kerajaan perpaduan terdiri daripada anggota parlimen secara individu dan bukan berasaskan perwakilan parti. Kemungkinannya beliau (Mahathir) perdana menterinya,” ujarnya lagi.

Semalam, Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam perutusan disiarkan secara langsung, antara lain berkata jika dibenarkan, beliau berhasrat menubuhkan kerajaan campuran tanpa memihak kepada mana-mana parti politik.