PH-Warisan perlu terus dekati rakyat perjelas isu semasa

PH-Warisan perlu terus dekati rakyat perjelas isu semasa

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu pemimpin dan jentera Pakatan Harapan (PH)-Parti Warisan Sabah (Warisan) memberi komitmen penuh untuk terus mendekati rakyat bagi memperjelaskan isu semasa supaya rakyat lebih memahami setiap perkara berkaitan sekali gus memberi keyakinan kepada kerajaan pemerintah.

Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan berkata langkah itu perlu dilakukan secara berterusan meskipun selepas pilihan raya kerana ia penting bagi memastikan pengundi terus memberi sokongan kepada kerajaan.

“Walaupun selepas pilihan raya, kita perlu selalu mendampingi rakyat dan menjelaskan isu tertentu termasuk mengenai keterbatasan kerajaan melaksanakan usaha memberi ruang pekerjaan dan perniagaan.

“Bukan semudah itu kita lakukan (perubahan) kerana kita kena sedar bahawa apa dialami hari ini dari segi kemerosotan ekonomi dan tanggungan kerugian hutang banyak bukan disebabkan kerajaan sekarang tetapi kerajaan terdahulu.

“Justeru, kita perlu terus mendampingi rakyat serta menjelaskan kepada mereka mengenai isu ini dan saya yakin jika kita melakukan pendekatan ini, pengundi InsyaAllah (berpihak kepada PH-Warisan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kekalahan PH kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam, dan apakah pendekatan dilakukan PH-Warisan bagi memastikan kemenangan pada PRK Parlimen Sandakan, 11 Mei ini.

Beliau berkata momentum pengundi di setiap kawasan di Sabah dan Semenanjung pastinya berbeza, namun, jentera PH-Warisan akan memastikan pendekatan kempen pilihan raya bagi PRK Sandakan adalah dekat dihati pengundi di kawasan itu.

“Ini perlu kita sesuaikan pendekatan untuk membolehkan citarasa (pengundi) itu dapat diselaraskan… bukan mudah tetapi kita akan berusaha (bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PH-Warisan),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai PRK Sandakan, Mohd Shafie berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung perkara itu memandangkan ia adalah kerusi DAP, dan calon dipilih akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, Mohd Shafie ketika berucap, berkata usahawan kraf tekstil tempatan perlu meningkatkan lagi keupayaan pengeluaran produk mereka sebagai usaha memenuhi permintaan tinggi dalam pasaran selain memastikan produk mereka berkembang ke peringkat antarabangsa.

Produk kraf tekstil tempatan sememangnya bagus dan mempunyai kualiti tinggi, katanya.- BERNAMA