Malaysia Dateline

PH wujudkan khemah besar satupadukan rakyat

Pemukiman Pakatan Harapan di Port Dickson yang baru sahaja selesai telah memberi semangat baru kepada pucuk pimpinan untuk bangkit semula dengan semangat perpaduan dan iltizam bagi meneruskan usaha Reformasi negara.

Dalam kenyataan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, Pakatan Harapan akan terus gigih berusaha menjuarai aspirasi rakyat dengan mengambil pendekatan “Khemah Besar” untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.

“Ini penting bagi memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen dengan menamatkan penggantungan Parlimen,” katanya,

Katanya satu memorandum yang ditandatangani oleh semua Ahli Parlimen yang menyokong pembukaan semula Parlimen akan dipersembah kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Ia sekaligus menjunjung titah nasihat Duli Tuanku bahawasanya Darurat tidak menghalang Parlimen untuk bersidang.

“Kami menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan Rakyat, tanpa melibatkan kleptokrat,” katanya.