PH yakin majoriti kemenangan di Tg Piai akan lebihi kemenangan ketika PRU14

PH yakin majoriti kemenangan di Tg Piai akan lebihi kemenangan ketika PRU14

Pakatan Harapan (PH) yakin boleh memenangi kerusi parlimen Tanjung Piai sekali gus meraih majoriti lebih besar ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ni berbanding kemenangan ketika Pilihan Raya Umum ke-14.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kepada kaji selidik yang dilakukan di kawasan parlimen berkenaan.

Beliau berkata jentera PH juga sudah turun membuat program dari rumah ke rumah serta ceramah secara kecil-kecilan, supaya dapat menyentuh hati serta mendekati rakyat.

“Kita harap (boleh dapat) lebih (majoriti) sebab kita sekarang adalah kerajaan. Setakat ini, kempen terus berjalan dengan agresif dan kita ingin pastikan masyarakat di bawah sana, orang-orang kampung tahu bahawa pentingnya dan perlunya mereka sokong kerajaan sekarang.

“Semalam pun ada ceramah mega di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PRK) dan pimpinan parti yang datang, saya lihat mendapat sambutan dan respons yang sangat positif jadi berdasarkan kaji selidik terkini, Insyaallah saya cukup yakin kerajaan PH dapat kekalkan kerusi di Tanjung Piai,” kata Dr Sahruddin, yang juga Pengarah Jentera PH bagi PRK Tanjung Piai, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keyakinan PH untuk memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti besar.

Pada PRU lepas, penyandang kerusi berkenaan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 524 undi mengalahkan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-MCA) serta Nordin Othman (Pas-Berjasa).

Dr Sahruddin berkata demikian kepada pemberita selepas temubual khas Seleksi Konti Radio RTM sempena Pra-Belanjawan Johor 2020 di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar Johor berkata kerajaan negeri akan sentiasa berusaha menyelesaikan masalah-masalah dan isu yang timbul demi kesejahteraan masyarakat di kawasan terbabit.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas usaha dan bantuan yang diberikan pucuk pimpinan parti dan kerajaan yang bersama-sama untuk memastikan kemenangan PH di Tanjung Piai.

Ketika ditanya dakwaan mengenai masyarakat India terpinggir ketika kempen PRK kali ini, beliau menafikan kenyataan itu, sebaliknya menjelaskan telah melantik dua pegawai khas berbangsa India untuk menjaga kepentingan kaum itu di negeri ini.

Pelantikan mereka sekali gus menunjukkan kerajaan negeri mengambil berat mengenai kepentingan kaum India di Johor.

Dr Sahruddin turut menambah kombinasi exco dan pegawainya yang berbilang kaum disifatkan sebagai terdiri daripada cina dan india merupakan kombinasi terbaik.

“Kita tidak mahu seseorang hanya fokus sesuatu tempat sebagai contoh saya di Bukit Kepong, jadi saya fokus Bukit Kepong sahaja. Exco dan pegawai saya hendaklah fokus kepada seluruh negeri Johor, jadi tidak ada isu yang mengatakan masyarakat India tertinggal,” kata beliau.– BERNAMA