Malaysia Dateline

PH yakin Malaysia mampu pulih ekonomi negara, kata Azmin Ali

Berdasarkan prinsip teras akauntabiliti dan integriti dalam melaksanakan pentadbiran baharu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yakin mampu memulihkan ekonomi negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, beliau yakin kerajaan berkebolehan memberikan satu tenaga baharu supaya Malaysia dapat bangkit semula sebagai Harimau Asia.

“Hari ini Tun Dr Mahathir secara tegas memberikan definisi Malaysia Baharu di mana Malaysia Baharu ini merupakan sebuah pentadbiran kerajaan yang berteraskan prinsip akauntabiliti, integriti, dan peduli rakyat.

“Beliau juga telah umumkan tujuh teras utama bagi memperkenalkan wawasan kemakmuran bersama kerana setelah sekian lama negara mewah dari segi hasil tapi ia tidak dikongsi secara adil dengan rakyat di bawah.

“Maka, wawasan kemakmuran bersama ini dijamin supaya semua rakyat Malaysia akan dapat pengagihan kekayaan secara adil dan teragih khususnya mereka yang berada di luar kawasan bandar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa tujuh teras yang dibawa antara yang penting yang akan dilaksanakan di mana sebahagiannya telah bermula.

“Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, usaha ini akan berterusan dan kita memberi jaminan bahawa Malaysia baharu ini akan menjamin kemakmuran bersama di masa akan datang,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.