Malaysia Dateline

PH yakin peluang cerah tawan kubu Orang Asli Pos Betau

Pakatan Harapan (PH) melihat peluang cerah untuk menawan Pos Betau, penempatan teramai pengundi komuniti Orang Asli, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Sabtu ini.

Ketua Cawangan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pos Betau, Roslan Along berkata, berdasarkan gerak kerja parti itu di pos berkenaan sentimen pengundi dilihat berubah berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei tahun lalu.

“Sebenarnya sini kawasan biru (berpihak kepada Barisan Nasional-BN) tapi sudah jadi merah (berpihak kepada PH),” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, di pos berkenaan,di Kuala Lipis semalam.

Turut hadir Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun.

Menurut Roslan, Pos Betau mempunyai 1,345 pengundi daripada kesemua 18 kampung dengan 78 peratus pengundi berusia 60 tahun ke bawah.

Pada PRU-14 lepas, PH hanya berjaya meraih kira-kira 100 undi berbanding BN 875, dan selebihnya parti-parti lain yang bertanding di Pusat Daerah Mengundi Pos Betau.

Mukhriz dalam pada itu menaruh harapan PH bukan sahaja dapat menambah undi, tetapi dapat terus menang majoriti tinggi di kawasan berkenaan.

“PRK ini tak sama dengan PRU duhulu, kalau dahulu mungkin ada perasaan pengundi di sini bahawa nak pilih wakil rakyat yang memihak kepada kerajaan Persekutuan, waktu itu mungkin tak sangka BN akan tumbang kepada PH,

“Kali ini yang kami harapkan pengundi kawasan ini tetap sokong kerajaan yang ada iaitu PH, bukan lagi BN,” katanya.

Bercakap di hadapan penduduk lewat petang tadi, Mukhriz turut menyampaikan salam ayahandanya, perdana menteri yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, kepada penduduk di situ.

“Beliau dah jadi perdana menteri kali kedua umur pula dah 93 tahun tetapi masih kuat berjuang bersama-sama kita, tentunya beliau mahukan keputusan terbaik dalam PRK ini.

“Sebab itu dalam tempoh beberapa hari lagi beliau sendiri akan turun sama-sama untuk suntik semangat,” katanya merujuk kepada lawatan Dr Mahathir ke Sungai Koyan, Jumaat ini.- BERNAMA