PH yakin tunai semua janji, kini tumpu pulih ekonomi
Antara penduduk Kampung Serkat di Tanjung Piai yang hadir ke ceramah PH malam tadi.

PH yakin tunai semua janji, kini tumpu pulih ekonomi

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yakin dapat menunaikan sepenuhnya janji yang dibuatnya dalam manifesto pilihan raya 2018 lalu menjelang tamat mandatnya nantinya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad ketika bercakap di Tanjung Piai malam tadi berkata, buat masa sekarang kerajaan sedang memberikan tumpuan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Yang kita janjikan akan dilaksanakan sepenuhnya selepas penggal lima tahun ini tamat, insya Allah.

“Apa yang kita buat sekarang adalah untuk pulihkan ekonomi kita,” kata Khalid ketika memberikan ucapan dalam ceramah kelompok di Serkat, Tanjung Piai.

Turut serta berceramah bersama beliau adalah Exco kerajaan negeri Johor, Aminolhuda Hassan.

Khalid mengaku pada tahun pertama kerajaan PH sebelum ini banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh mereka.

Apabila masuk tahun kedua banyak perkara mula boleh dibuat selepas banyak perkara mula boleh diselesaikan.

“Apabila masuk tahun 2020 nanti, lebih banyak perkara yang boleh kita lakukan sebagaimana yang telah digariskan dalam belanjawan baru-baru ini,” kata Khalid.

Kerajaan juga, kata Khalid, terpaksa banyak menanggung hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu.

“Dahulu hutang yang dibuat oleh syarikat-syarikat tidak dimasukkan dalam jumlah hutang kerajaan tetapi kini kita terpaksa tanggung kerana ia hutang yang dijamin oleh kerajaan.

“Apabila syarikat itu tidak mampu bayar, kita yang kena tanggung,” kata Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH.