Malaysia Dateline

Lim Guan Eng

PIA, Lapangan Terbang Kulim diharap melengkapkan satu sama lain

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan lapangan terbang Kulim yang dicadangkan diharap akan melengkapkan satu sama lain dan bukan sebaliknya bersaing antara satu sama lain.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata kerajaan persekutuan memahami sepenuhnya kebimbangan yang dibangkitkan Pulau Pinang berhubung impak pembinaan lapangan terbang Kulim

Kerajaan negeri tidak perlu bimbang PIA akan ditutup kerana kami adalah kerajaan yang meluluskan pelan pengembangannya dan apabila lapangan terbang itu berkembang, kami tidak akan membenarkan ia ditutup jadi ia adalah mustahil,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang telah melebihi kapasiti maksimum 6.5 juta penumpang, akan menjalani pelan pengembangan untuk meningkatkan kapasitinya kepada 16 juta penumpang.

Bagaimanapun, Lim berkata kebanyakan logistik dan rantaian bekalan berpusat di PIA, jadi mereka mungkin akan terus menggunakan PIA manakala Lapangan Terbang Kulim menampung keperluan Kedah.

Beliau juga mengulangi bahawa sebagai Menteri Kewangan, beliau tidak membantah cadangan pembinaan lapangan terbang Kulim kerana Kementerian Kewangan tidak perlu memperuntukkan dana untuknya.

Beliau berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Kedah berpendapat bahawa lapangan terbang Kulim adalah penting untuk menarik pelaburan langsung asing.

“Keputusan mengenai lapangan terbang Kulim perlu dihormati dan oleh kerana ia tidak melibatkan dana awam, Kementerian Kewangan tidak menentang cadangan itu,” kata beliau.

Cadangan pembinaan lapangan terbang Kulim berharga RM1.6 bilion merupakan inisiatif kewangan swasta, jadi kerajaan persekutuan tidak perlu membiayai pembinaannya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada sidang media berasingan berkata pihaknya berharap Kementerian Pengangkutan segera mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kedah kerana cadangan pembinaan lapangan terbang Kulim dijangka memberi impak negatif kepada PIA.

Chow berkata cadangan itu telah dibangkitkannya dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 26 Februari lepas.

Menurutnya, beliau juga telah membangkitkan isu berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang berlangsung minggu lepas.

“Selepas mesyuarat itu sehingga sekarang perbincangan mahupun mesyuarat berhubung perkara ini masih belum diadakan. Kita masih menunggu perbincanga di antara tiga pihak ini.

“Walau apa pun, kita sudah menggunakan platform-platform yang ada untuk membangkitkan keprihatinan pihak kerajaan negeri, sekarang kita serahkan kepada kementerian berkenaan untuk menyusuli cadangan projek ini,” katanya.- BERNAMA