Malaysia Dateline

Piagam Pas-Umno jadi teras perbahasan di Muktamar Pas ke-65

Penganalisis Politik, Prof Dr Azmi Hassan menjangkakan, tiada usul lain dilihat paling utama dalam teras perbahasan Muktamar Pas Ke-65, selain Piagam Pas-Umno yang berbentuk Muafakat Perpaduan Ummah.

Mengulas lanjut, beliau menjangkakan perbahasan dan tema usul tidak akan lari daripada tema mempertahankan kepentingan agama dan bangsa, kerana itu adalah teras kerjasama mereka.

Beliau berkata, jika ditinjau muktamar sebelum ini, kebanyakan usul adalah berkisar kepada tema Islam dan juga Melayu.

“Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan senario politik semasa, iaitu kerjasama Pas-Umno menguatkan lagi tanggapan bahawa, asas kekuatan Pas adalah kedua-dua faktor tersebut (Islam dan Melayu).

“Sebab itu saya berpendapat, jika ada usul lain yang berkait dengan keadaan politik tidak menentu, kesetiaan kepada institusi Diraja, ekonomi yang lembab atau pun tadbir urus yang kucar-kacir, saya menjangkakan muktamar ini pastinya akan berkisarkan Islam dan Melayu juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini bagi mengulas apakah usul lain yang perlu diangkat oleh Pas dalam muktamar kali ini, selain isu Melayu dan Islam yang menjadi asas perjuangan kedua parti tersebut.

Muktamar Tahunan Pas Ke-65 akan diadakan di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), pada 21 hingga 23 Jun ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, usul mengenai piagam adalah bertujuan untuk menzahirkan sokongan akar umbi terhadap kerjasama Pas-Umno yang telah terjalin sebelum ini

Namun katanya, perbahasan perlu menjurus kepada terma kerjasama secara terperinci supaya manfaat maksima akan dapat dicapai.

“Jika usul tidak membincangkan terma kerjasama secara terperinci oleh akar umbi parti, maka tanggungjawab tersebut akan dipikul oleh pemimpin tertinggi parti dan kemungkinan hasrat akar umbi tidak dipenuhi ketika perbincangan.

“Kemenangan tanpa bertanding Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah manifestasi jelas sokongan ahlinya terhadap kerjasama dengan Umno.

“Ini kerana, Hadi Awang dan Tuan Ibrahim adalah penyokong kuat kerjasama dengan Umno, maka menjadi tanggungjawab ahli pula untuk memperhalusi terma kerjasama.

“Perkara itu (perhalusi terma kerjasama) boleh dilakukan ketika muktamar iaitu melalui kaedah usul dan perbahasan,” jelasnya lagi.