Malaysia Dateline

Piagam Pas-Umno: Nasruddin dakwa Husam ‘busybody’

Pas menempelak kenyataan dibuat Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa mengenai piagam Pas-Umno yang akan dimeterai oleh parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu itu.

Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan berkata,  dengan kerjasama itu telah megundang resah pimpinan PH untuk campurtangan bagi tujuan mengagalkan kerjasama yang sedang terjalin itu.

“Datuk Husam membuat kenyataan seperti mahu mengajar Pas bagaimana prosedur membuat keputusan bagi memeterai kerjasama secara muktamad antara Pas dan Umno.

“Husam mungkin “perasan” dia masih ahli Pas atau Naib Presiden Pas sehingga terbawa-bawa dalam ingatannya bagaimana keperluan Pas dalam memproses keputusan.

“Ataupun beliau seorang yang “busybody’, suka campurtangan urusan dalaman parti lain,” ujarnya dalam kenyataan dilaman facebook hari ini.

Beliau berkata sepatutnya Husam  fokus kepada urusan dalaman Pakatan Harapan (PH) yang masih tidak stabil dan menghadapi kemelut saingan dalaman yang begitu ketara antara parti komponen itu.

Datuk Husam Musa

“Husam cuba “menilik” masa depan Pas dan Umno dengan menganggap hubungan ini tidak akan lama. Sedang beliau lupa nak tilik nasib parti sendiri yang terumbang ambing di dalam PH,” ujarnya.

Kata Nasrudin lagi, hubungan Pas dan Umno kini semakin baik terutama di bulan Ramadhan dan bertambah erat menjelang hari lebaran kelak.

“Saat umat Islam saling bermaafan dan mengikat tali silaturrahim.

“Tentu sahaja perpaduan ummah yang sedang dijalin antara Pas dan Umno semakin kukuh. Demi mengembalikan kekuatan umat Islam dan membina masa depannya yang baik.

“Dua parti terbesar umat Islam dan orang Melayu yang dulunya saling bertelingkah kini sedang menyusun rencana bersama guna mendepani cabaran di hari muka. Khususnya usaha untuk mengalahkan PH yang kini didominasi oleh DAP,” ujarnya.

Beliau berkata,Pas telah melalui proses yang begitu teliti dan berhemah dalam membuat keputusan mengenai kerjasama antara Pas dan Umno.

“Bermula dari Majlis Syura Ulama, AJK Pas pusat, agensi-agensi tertentu yang dilantik oleh parti untuk membuat kajian, memproses maklumat, merencana asas tindakan sehinggalah akhir nanti, ahli-ahli Pas melalui perwakilan masing-masing akan bermesyuarat dan berbincang mengenainya di muktamar tahunan.

“Saya percaya itu sebahagian dari percubaan mereka untuk letuskan propaganda supaya timbul rasa tidak puas hati dari kalangan ahli terhadap kerjasama Pas dan Umno.

“Satu percubaan untuk menyembunyikan resah keterlaluan yang sedang dialami oleh mereka.

“Sebelum ini beberapa pemimpin DAP cuba palitkan kerjasama Pas dan Umno sebagai *Taliban dan pengisytiharan perang dengan non malay.*

“Kini pemimpin AMANAH pula cuba cetus spekulasi mengenai kerjasama tersebut ekoran timbul cadangan pembentukan piagam kerjasama antara Pas dan Umno kelak.

Apa yang zahir ialah *mereka sedang kelam kabut saat PAS dan UMNO mengatur rencana untuk mengeratkan kerjasama* kedua parti khasnya dan orang melayu yang beragama Islam amnya tanpa sedikit pun lalai dari turut sama melibatkan kerjasama serta sokongan non muslim,” ujarnya lagi.

Semalam Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa, berkata Piagam yang bakal dimeterai Pas dengan Umno disifatkan tidak menjamin hubungan akan terjalin erat atau kekal lama antara kedua-dua parti itu.

Katanya Pas dan Umno berhasrat untuk bersama, dan beliau berharap ia mendapat persetujuan ahli secara terbuka, selain memberi kebaikan kepada negara.

“Tidak semestinya dengan ada piagam, hubungan (Pas dengan Umno) akan terjalin erat. Kita mengambil contoh dalam perhubungan suami isteri, ia bukan selalu baik dan tetap akan bergaduh, malah boleh bercerai juga.

“Saya berharap sepakat mereka itu tidak hanya dibina untuk kuasa tertentu,” ujar Husam.