Malaysia Dateline

Piagam Pas-Umno tidak gugat Pakatan Harapan

Pembentukan piagam bersama Pas dan Umno selepas Aidilfitri bagi membentuk kerjasama rasmi sepertimana yang didakwa oleh Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa semalam tidak akan menggugat sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH)..

Demikian dinyatakan oleh Naib Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Zulkiply Ishak.

Menurut beliau lagi, kerjasama yang akan diwujudkan secara rasmi itu, tidak akan memberi impak kepada PH selagi hubungan dalaman komponen parti dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin.

Malah katanya, taawun secara rasmi dan bertulis sepertimana yang dinyatakan itu tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak.

“Kita yakin dengan sokongan rakyat terhadap kerajaan PH yang telah berjaya membawa pelbagai perubahan walaupun dalam tempoh pemerintahan setahun.

“Pelbagai polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan kini telah mampu untuk membela nasib rakyat dalam pelbagai bidang dan juga sektor.

“Yang jelas usaha bagi membawa perubahan dengan menolak kerajaan rasuah dan kleptokrasi semasa zaman BN dulu menjadi kenyataan kini, ” tegasnya lagi.

Walau bagaimana pun ujarnya, kekuatan yang ada dalam komponen PH mestilah dipertingkatkan lagi.

“Kemenangan yang telah diperolehi dalam pilihanraya umum yang lalu membuktikan rakyat mahukan pembaharuan.

“Oleh kerana itu semua pihak samada diperingkat akar umbi parti komponen sehinggalah ke peringkat tertinggi mesti sedar bahawa kita adalah kerajaan yang sedang memimpin dan bukannya oposisi.

“Sehubungan itu setiap kata bicara, pandangan, kritikan yang dilemparkan khususnya oleh pimpinan komponen PH mesti dibuat penelitian dan justifikasi terlebih dahulu sebelum ianya dilontarkan, ” tambahnya.

Kata Zulkiply lagi, sejajar dengan itu semua pihak disarankan supaya lebih berhati-hati dalam setiap isu yang berbangkit melibatkan kepentingan mana-mana ras dan agama.

Yang perlu diperjuangkan secara serius dan diberi prioriti kata beliau, ialah kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

Semalam Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata pembentukan piagam Umno-Pas itu kini di peringkat akhir penelitian oleh jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan oleh kedua-dua parti sebelum ini