Piagam Umno-Pas bertujuan meraih sokongan pengundi orang Melayu

Piagam Umno-Pas bertujuan meraih sokongan pengundi orang Melayu

Strategi Umno-Pas membentuk piagam adalah kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain, selain bekerjasama untuk meraih sokongan pengundi dalam kalangan orang Melayu.

Penganalisis Politik, Prof Dr Azmi Hassan berpandangan, apabila terbentuknya persefahaman berbentuk piagam, ia membawa maksud kedua-dua parti tersebut sudah nekad untuk menjalinkan kerjasama.

Beliau menjelaskan lagi, piagam tersebut antara lain bertujuan memberi isyarat kepada masyarakat, bahawa kerjasama antara mereka termaktub dan akan dilaksanakan.

“Umno dan Pas tidak mempunyai pilihan selain bekerjasama antara satu sama lain, kerana kekuatan mereka untuk meraih sokongan pengundi Melayu adalah menerusi ‘kerjasama’ itu.

“Sama ada kerjasama ini berjaya atau gagal, ia bergantung apabila perbincangan pengagihan kerusi diadakan, kerana isu ini adalah paling kritikal.

“Jika diambil kira keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, jika kedua-dua parti ini bergabung dan bertanding, besar kemungkinan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu membentuk kerajaan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.

Dalam pada itu Azmi berkata, kerjasama yang terjalin antara Umno dan Pas disertai dengan keyakinan pengundi Melayu terhadap kedua-dua parti itu, pasti akan menggugat sokongan pengundi Melayu ke atas PH terutamanya golongan atas pagar.

“Keputusan PRU-14 jelas mempamerkan undi popular walaupun 50/50 antara PH dan gabungan Umno-Pas, namun hakikatnya hampir 90 peratus undi popular Umno dan Pas adalah undi Melayu.

“Maka ditambah dengan wujudnya piagam kerjasama ini, ianya bakal memberi keyakinan kepada pengundi Melayu bahawa kerjasama parti tersebut adalah satu kenyataan.

“Bersandarkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, kerjasama antara kedua-dua parti ini merupakan daya tarikan kepada pengundi Melayu.

“Dengan situasi itu, PH perlu bekerja keras untuk meraih undi orang Melayu berbanding ketika PRU-14 yang lalu,” jelasnya lagi.

Azmi mengulas demikian ketika ditanya adakah Umno dan Pas berjaya menarik pengundi Melayu untuk menyokong kedua-dua parti itu pada PRU-15 menerusi pembentukan piagam tersebut atau ia tidak semudah itu untuk menggugat kerajaan PH.

Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata piagam yang berbentuk Muafakat Perpaduan Ummah itu akan melebarkan lagi hubungan kerjasama kedua-dua parti, berbanding sedia ada.

Katanya, piagam berkenaan akan dideklarasi dalam masa terdekat, selepas isi kandungan piagam berkenaan dibincangkan dan dipersetujui kedua-dua pihak.

Tuan Ibrahim menambah, deklarasi (piagam) yang akan dimeterai tidak lama lagi itu akan membentuk kerjasama lebih lebar daripada itu.

Pas juga tidak menolak kemungkinan piagam yang bakal dimeterai bersama Umno, membawa objektif ke arah kerjasama untuk berdepan PRU-15 nanti.