Piagam yang meragam, hanya guna retorik ummah, Melayu dan Islam

Piagam yang meragam, hanya guna retorik ummah, Melayu dan Islam

Tarikh 14 September hampir dengan Hari Malaysia 16 September. Pakatan Harapan (PH) diasaskan pada 22 September 2015. Pada 14 September ini, kita menantikan survival Pas dan Umno kerana dua parti ini akan menandatangani piagam yang akan menjelaskan kepada seluruh rakyat tentang hala tuju gabungan ini.

Mampukah gabungan ini menggugat Pakatan Harapan? Lebih penting ialah apakah dimensi dan cakupan isi kandungan perjanjian piagam nanti akan melonjakkan lagi negara atau adakah sekadar memberi ‘nyawa’ kepada pengikut masing-masing?
Jawapannya, ada jika kita dengan jujur membuat perbandingan pengalaman dan model kesepakatan politik di Malaysia.

Semasa Pakatan Rakyat (PR) dibentuk pada 2009 di Shah Alam, perkara besar yang memeteraikan kerjasama antara Pas, PKR dan DAP ialah Kerangka Platfom Polisi Bersama atau Common Policy Framework (CPF).

Perjanjian antara tiga parti pembangkang terbesar ini dibawa hampir setahun usai Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Kebangkitan menafikan dua pertiga majoriti terdominasi oleh BN selama ini adalah pukulan terhebat dalam sejarah politik tanah air.

Teras perjanjian itu ialah mempertahankan Islam sebagai Agama Persekutuan, Raja Melayu dan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dalam apa jua keadaan jika PR memerintah.

Buku Jingga dilancarkan pada Kongress kedua PR pada tahun 2010 yang menggariskan hasrat memulihkan negara melalui advokasi dasar yang tertumpu kepada membangunkan negara.

Menyorot kebelakang seketika, semasa pembangkang memasuki PRU 2008, tidak ada sesuatu yang mengikat parti pembangkang ketika itu kecuali satu, iaitu mereka bersetuju untuk masuk PRU dengan kaedah; satu lawan satu.

Motivasinya ialah memberi peluang kepada pengundi membuat pilihan mudah dan memenangi pertandingan melawan BN. Strategi awal tersebut membawa hasil yang berkesan justeru memungkinkan lahirnya secara berstruktur Pakatan Rakyat.

Penjenamaan semula PR pula tercetus dengan berpecahnya PR pada tahun 2014 yang kemudian bangkit dari debu-debu ini ialah Gerakan Harapan Baru pada tahun 2015 yang memangkinkan tiga parti bergabung terdiri daripada DAP+PKR DAN Parti Amanah Negara (AMANAH) lalu membentuk Pakatan Harapan. Menjelang PRU ke 14, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula muncul menggabungkan kekuatan reformasi dan Gerakan Selamatkan Negara.

Melihat kepada semua perkembangan ini, pengajaran kepada sebuah kesepakatan kepartian di Malaysia menunjukkan konsep kesepakatan politik adalah satu keperluan.

Keperluan ini adalah satu fakta jika kita kaji juga penubuhan Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional yang berjaya memerintah sehingga 2018. Realiti ini akan menjawab kepada fenomena Piagam UMNO+PAS yang tidak terkecuali dari desakan keperluan ini untuk berhadapan dengan kerajaan hari ini.

Apa yang hendak ditegaskan ialah, piagam mahupun PH ataupun BN adalah satu keperluan strategi politik yang menjadi ciri utama survival parti-parti politik di Malaysia sejak dulu lagi.

Apa yang lebih utama diberi perhatian ialah, apakah sebenarnya inti pati kesepakatan dan sejauh mana kesepakatan politik ini menjangkau keperluan lebih besar dalam menentukan kemampuan memerintah dan memimpin negara dengan dasar yang berwibawa.

Parti-parti politik perlu jelas bahawa kesepakatan politik bukan semata inginkan kuasa memerintah atau menjatuhkan mana-mana kerajaan ataupun meningkatkan kerusi DUN dan Parlimen.

Tetapi lebih utama ialah, apakah dasar pemerintahannya nanti, apakah bentuk komitmen untuk mempertahankan teras negara bangsa dan agenda pembangunan yang hendak dipacu dan paling utama memahami fasa Malaysia Baru yang mendefinisikan keperluan negara secara dalaman dan luaran pada hari ini.

Saya memilih untuk melihat piagam yang diuar-uarkan antara Pas dan Umno dari sudut isinya bukan retorik format ‘Perpaduan Ummah’ ataupun ‘Perpaduan Melayu’ atau ‘Demi Islam’.

Pertama, piagam antara Pas dan Umno adalah strategi politik untuk bersaing dengan PH atas keperluan satu lawan satu semasa PRU akan datang. Pas yang totok dan senantiasa rigid di bawah pimpinan hari ini akur kepada satu kenyataan bahawa Pas perlu Umno dan Umno perlu Pas.

Apakah keperluan ini kerana untuk membela ummah ataupun membela Islam? Jawapannya ialah TIDAK dengan huruf besar. Ia adalah sekadar strategi politik untuk bersaing dan taktikal ke arah mendapat sokongan ialah dengan memakai retorik Ummah, Melayu dan Islam.

Umno yang sering menyerang Pas sebelum ini kerana ‘jumud’ ‘parti pak lebai’ dan menganak-tirikan Kelantan dan Terengganu di bawah Pas seketika dahulu tiba-tiba ‘dipiagamkan’.

Bukankah ini taktik politik? Pas pula sebelum ini yang telah ‘kafirkan’ Umno dan pernah kata Umno tolak Islam kerana tolak hudud, ‘mempiagamkan’ dirinya dengan sebuah parti kafir! Bukankah ini hanya taktik politik yang tidak dipandu dengan prinsip yang jelas tetapi survival politk?

Seseorang tidak akan terelak bertanya sama ada, apakah Pas yang ‘piagamkan’ Umno atau Umno yang ‘piagamkan’ Pas? Atau Pas dah tarik balik ‘Amanat Hj Hadi’ ke atas Umno manakala Umno dah tarik balik kenyataan Pas adalah Parti Ajaran Sesat?

Jikalau belum tarik balik maka sahlah selama ini Pas yang dakwa mewakili Islam dan Umno yang dakwa mewakili Melayu hanyalah mainan politik dan tidak ada kena mengena dengan perjuangan bangsa Melayu mahupun ia hanya soal akidah perjuangan! Parti Ajaran Sesat (Pas) dan Umno Kafir berpiagam?

Kedua, dari sudut asasnya, adakah piagam hanya untuk kepentingan Melayu-Islam atau adakah kepentingan nasional dan untuk memelihara perpaduan nasional? Namun gaya ucapan tema Islam terancam, Melayu hilang kuasa dan perpaduan ummah mengisyaratkan ia adalah kepentingan perpaduan Melayu-Islam sahaja.

Sebab itu ada suara-suara dari Umno sendiri yang kurang senang dengan keterbatasan ini kerana setelah 62 tahun merdeka, piagam masih dalam kerangka berfikir yang ketinggalan zaman.

Apapun saya yakin keterbatasan piagam dengan retorik Melayu-Islam akan terpaksa dinilai semula kepada konteks Malaysia yang lebih besar dan luas walaupun sekadar ‘lips service’ sebab ia adalah realiti Malaysia.

Umno sebagai pemerintah sebelumnya seolah-olah sudah lupa bahawa sebelum ini sebagai parti Melayu ia tetap mempertahankan kepentingan nasional dan bekerja dalam merangka kesepakatannya dalam BN untuk mempertahankan kepelbagaian dalam negara ini.

Apakah bersama Pas kini ia telah ‘terjun’ lari meninggalkan bahtera mempertahankan identiti kepelbagaian negara? Apa jadi kepada Pas yang semasa pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am mengusung slogan Pas For All! Dah buangkah slogan itu? Perpaduan Nasional atau Pas for Melayu?

Ketiga, apakah dasar pembangunan negara yang hendak dibawa? PH menang bukan kerana retorik kaum atau agama sempit tetapi hasrat memerangi rasuah, mereformasikan secara keinstitusian bidang parlimen, perundangan dan kehakiman serta kebebasan bersuara dan media.

PH mengemukakan dasar kebertanggungjawaban dan ketelusan pentadbiran dan menolak salah guna kuasa politik. Semua dasar PH dikemukakan kepada rakyat adalah akibat dari kecuaian BN untuk menjaga asas-asas penting pemerintahan yang baik dan mempertahankan dasar pembangunan negara yang mampan.

Baru nak masuk dua tahun pemerintahan, PH giat memulihkan negara dari legasi sebelumnya, apa sikap piagam? Apa yang hendak dikatakan oleh Umno? jangan bertanya kepada Pas kerana Pas antara yang kuat menentang kebobrokan Umno sebagai pemerintah semasa PR dulu dan menegaskan perlu kepada Islah. Apakah Pas menolak Islah dalam kerajaan yang PH giat diusahakan dengan dasar yang jelas?
Adakah PAS masih istiqamah mahu memerangi rasuah? Kalau betul istiqamah maka pilihannya ialah bersama PH bukan dengan Umno!

Sekurang-kurangnya keperluan politik kesepakatan yang diterokai oleh PR dan kemudian PH menunjukkan kejelasan dari sudut isi yang disepakati yang cuba menterjemahkan keutamaan perpaduan nasional, dasar pembangunan dan pemerintahan yang mahu menjaga kemaslahatan negara secara menyeluruh.

Lebih penting PH meneruskan kesinambungan fasa negara menjangkau 2020 kepada fasa Malaysia Baru dengan menggantikan strategi baru memulihkan kehebatan di dalam dan luar negara.

Akhirnya, Pas perlu ajar Umno kerana parti Islam itu pernah menerokai ‘Tahaluf Siyasi’ bersama PR ‘sekerat jalan’ dan sebelumnya dengan pelbagai parti. Pas pada 2015 tinggalkan PR membawa diri untuk mendapatkan ‘kekasih’ misterinya yang kini sudah muncul dengan adanya “piagam”. Harapnya Pas istiqamahlah kali ini dan tidak tinggalkan kawan sekerat jalan lagi.

Umno pula perlu jujur bimbing Pas sebagai pihak yang lebih berpengalaman pernah menjadi kerajaan yang cukup lama. Umno jangan lupa bimbing Pas erti perjanjian, nilai demokratik negara dan dasar membangunkan negara dan paling penting sebagai ‘taiko’, Umno bimbinglah Pas erti kepelbagaian dan hidup bersama dalam negara bernama Malaysia bukan dalam alam Terengganu ataupun Kelantan semata-mata.

Saya menganggap piagam hanyalah sebagai keperluan politik kesepakatan untuk kekal bersaing. Cuma harapan saya ialah janganlah kedua-dua parti Melayu ini tertipu dengan ilusi mahukan kuasa dan ‘dendam’ untuk jatuhkan kerajaan PH menjadi motivasi, lalu memperjudikan nasib agama, bangsa dan negara dengan taktikal politik perkauman dan agama sempit yang akhirnya menenggelamkan bahtera kita semua. Janganlah bersetuju kepada PIAGAM yang MERAGAM.

*Penulis merupakan Naib Presiden AMANAH merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri.