Piala AFF 2018: Tiga penerbangan disasar bawa penyokong ke Hanoi

Piala AFF 2018: Tiga penerbangan disasar bawa penyokong ke Hanoi

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan tiga penerbangan sewa khas mungkin diaturkan bagi membawa penyokong skuad Harimau Malaya untuk menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi, Vietnam, 15 Dis ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya kini sedang berbincang dengan syarikat-syarikat penerbangan negara mengenai perkara itu supaya lebih ramai peminat bola sepak tempatan dapat memberi sokongan kepada pasukan Malaysia dalam perlawanan berkenaan.

“Semasa perlawanan separuh akhir kedua sebelum ini (di Bangkok, Thailand), pihak AirAsia bersetuju sediakan  penerbangan sewa khas dan kali ini, saya nak pastikan perkara sama berulang cuma kita nak tambahkan lebih banyak penerbangan.

“Saya sedang berbincang dengan pihak Malaysia Airlines dan juga AirAsia. Kita mahu suara penyokong Ultras Malaya didengari pada perlawanan akhir kedua tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Minda anjuran Sinar Harian, di sini hari ini.

Beliau, bagaimanapun berkata sebarang keputusan mengenai usaha tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Perlawanan akhir yang menggunakan format timbal balik itu akan memulakan aksi dengan skuad negara menerima kunjungan Vietnam pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan, sebelum aksi final kedua di Hanoi, 15 Dis ini.

— BERNAMA