Piala AFF: tidak mustahil Harimau Malaya jinakkan Naga Emas

Piala AFF: tidak mustahil Harimau Malaya jinakkan Naga Emas

Bukan mustahil untuk Harimau Malaya menewaskan Naga Emas sekali gus menjuarai Piala AFF Suzuki 2018, ?namun ia bakal menjadi satu cabaran besar buat skuad Negara.

Keinginan menamatkan kemarau 10 tahun Vietnam untuk bergelar juara dan rekod 14 perlawanan tanpa kalah mereka dalam tempoh dua tahun adalah dua elemen yang menjadi motivasi terbaik skuad kendalian Park Hang-Seo dan dua perkara itu adalah fakta yang tidak boleh diabaikan skuad kebangsaan.

Kali terakhir Vietnam tewas dalam aksi antarabangsa adalah pada 3 Dis 2016 ketika tunduk 1-2 kepada Indonesia dan selepas itu skuad ‘Naga Emas’ cemerlang meraih tujuh kemenangan termasuk menewaskan Malaysia 2-0 baru-baru ini diikuti tujuh keputusan seri sebelum itu.

Edisi Piala AFF Suzuki 2018 juga menyaksikan Vietnam tampil cemerlang dengan sistem pertahanan menjadi kunci kekuatan pasukan dan ia dibuktikan apabila hanya dibolosi dua gol dalam enam perlawanan sebelum melangkah ke pentas final.

Namun, kemampuan skuad Harimau Malaya dibimbing ketua jurulatih Tan Cheng Hoe tidak lagi boleh diragui terutama selepas kejayaan menyingkirkan juara bertahan Thailand pada aksi separuh akhir.

Jika kelebihan Vietnam adalah pada bahagian pertahanannya, keberkesanan jentera serangan adalah kekuatan skuad Harimau Malaya.

Gandingan penyerang Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak-Norshahrul Idlan Talaha membuktikan usia bukan penghalang untuk mereka merobek gawang lawan dalam setiap perlawanan pada kempen kali ini.

Mohamad Zaquan, 31, menjaringkan tiga gol sementara Norshahrul, 32, lima gol dan impak dua penyerang ini dipengaruhi oleh ketajaman gerakan dua pemain sayap iaitu Pemain Paling Bernilai Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 Muhammad Safawi Rasid dan pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh.

Selain itu, Harimau Malaya turut memiliki corak bertahan yang baik dengan pemain tengah memiliki kemampuan menyekat serangan lawan selain benteng pertahanan diketuai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak.

Bagaimanapun, statistik perlawanan tidak boleh diketepikan menjelang aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Statistik pertemuan kedua-dua pasukan dalam tempoh 10 tahun sebelum ini dilihat memihak kepada Vietnam dengan jumlah tujuh kemenangan, dua tewas dan seri satu.

Di bahagian serangan, pasukan Vietnam cemerlang mencatat 0.72 peratus jaringan bagi setiap perlawanan dan mengumpul 12 jaringan keseluruhan manakala skuad negara pula hanya mencatat 0.54 peratus untuk setiap perlawanan dengan sembilan gol.

Bahagian pertahanan pula menunjukkan gawang Vietnam hanya dibolosi 0.12 peratus sepanjang lima perlawanan sebelum melangkah ke perlawanan akhir esok, manakala skuad negara pula perlu lebih kental mengekang asakan pasukan itu selepas mencatat 0.18 peratus bolos bagi setiap perlawanan.

Dalam pada itu, tiga tonggak utama penyerang Vietnam yang perlu dirantai barisan pertahanan negara ialah Quang Hai Nguyen, Cong Phuong Nguyen dan Anh Duc Nguyen yang masing-masing telah meledak tiga gol bagi skuad itu pada saingan kali ini.

Sementara bagi pasukan negara, harapan untuk menggegarkan gawang lawan pastinya pada jentera serangan negara yang diketuai oleh Norshahrul yang sudah menjaringkan lima gol dan ketua pasukan, Mohamad Zaquan, dengan tiga jaringan.

Sekiranya Cheng Hoe sudah mengambil kira dan mengenal pasti keupayaan Vietnam, pastinya Malaysia mampu melakar kejayaan manis di hadapan penyokong sendiri sebelum bakal menerima cabaran getir di tempat lawan pada perlawanan akhir kedua.

— BERNAMA