Piala Malaysia: Kedah bangkit tewaskan PKNS FC 3-2

Piala Malaysia: Kedah bangkit tewaskan PKNS FC 3-2

Juara Piala FA 2019, Kedah terpaksa bangkit sebanyak dua kali sebelum mengatasi PKNS FC 3-2 pada perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu, skuad Semut Merah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Colombia, Romel Morales yang merembat masuk bola dari luar kotak penalti pada minit ke-28.

Kedah menyamakan kedudukan menerusi Jonathan Bauman yang menolak masuk bola sepakan percuma Edgar Bernhardt yang terkena palang pada minit ke-50, sebelum pasukan pelawat sekali lagi mendahului menerusi tandukan Nicholas Swirad pada minit ke-70.

Bagaimanapun, skuad Lang Merah memastikan tiga mata menjadi mereka pada menerusi dua jaringan pada 10 minit terakhir, masing-masing menerusi pemain import dari Argentina, Jonathan pada minit ke-83 dan Aliff Yusof enam minit kemudian.

Kedah kini berada di tempat kedua dengan tujuh mata, dua mata ketinggalan di bawah Terengganu, diikuti oleh PKNS FC (4 mata) dan Negeri Sembilan yang masih gagal meraih sebarang mata.

Juara lima kali, Kedah akan bertemu Terengganu pada 13 Sept, manakala PKNS FC akan menerima kunjungan Negeri Sembilan.

Sementara itu, saingan Piala Cabaran, iaitu kejohanan untuk pasukan yang gagal layak ke Piala Malaysia, menyaksikan Kelantan meraih kemenangan pertama selepas membenam Sarawak 3-0 di Stadium Sarawak, Kuching.

Muhammad Fauzi Rozlan muncul wira skuad ‘The Red Warriors’ apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-35 dan 88, selain jaringan Mohamad Khairul Rizam Che Soh pada minit ke-46 untuk mengesahkan tiga mata penuh.

Pada perlawanan Kumpulan B, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

UKM FC selaku pasukan tuan rumah, membuka jaringan menerusi pemain import dari Croatia, Mateo Roskam pada minit ke-35, sebelum Wan Mohammad Faiz Wan Sulaiman (64’) dan Syed Sobri Syed Mohamad (90’) turut menambah derita bagi skuad “The City Boys”.– BERNAMA