Malaysia Dateline

Piala Sultan Selangor terima tajaan RM1.17 juta

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima tajaan berjumlah RM1.17 juta untuk Piala Sultan Selangor (TSSC) 2019 yang dijadual diadakan di Stadium Shah Alam pada 24 Ogos depan.

Baginda menerima cek sumbangan itu daripada 15 syarikat termasuk kerajaan Selangor dan syarikat berkaitan kerajaan negeri dalam satu majlis minum petang di Istana Alam Shah pada Khamis.

Hadir sama Menteri Besar, Amirudin Shari, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador dan Pengerusi Piala Sultan Selangor edisi ke-18, Tan Sri Abdul Karim Munisar.

Kerajaan Selangor dan syarikat berkaitan kerajaan negeri iaitu Perbendaharaan Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management, Worldwide Holdings Berhad, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Kumpulan Semesta dan Splash Sdn Bhd menaja sejumlah RM579, 999

Tujuh lagi syarikat yang turut menghulurkan penajaan adalah Tanjung Balai Group yang menyumbang RM300,000 manakala Kingsley Seeds Foundation, Eco World Development, Everspring Land Sdn Bhd, Nirvana Memorial Park, Aiman Platinum Sdn Bhd dan Setia Awan Group, masing-masing menaja RM50,000

Sementara itu, Abdul Karim, berkata, menerusi pembelian tiket perlawanan berharga RM10, penonton berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Honda City, sebuah motosikal Harley Davidson dan penginapan tiga hari dua malam di Hotel Marriott Kota Kinabalu.

Beliau berkata penonton boleh mendapatkan tiket tersebut mulai 24 Julai ini di outlet Uncle K di SACC Mall, Shah Alam, Paradigm Mall, Kelana Jaya dan Cyberjaya serta di kaunter tiket Stadium Shah Alam pada hari perlawanan.

Beliau berkata sebanyak tiga perlawanan akan berlangsung pada hari tersebut, bermula dengan acara Piala Cabaran Sekolah-Sekolah Selangor-Singapura Bawah 15 Tahun (B-15) pada jam 5.30 petang.

Ia kemudian diikuti perlawanan pasukan veteran Selangor dan veteran Singapura pada jam 8.30 malam dan diakhirinya dengan perlawanan kemuncak, Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura.

Kejohanan berprestij yang diperkenalkan Sultan Selangor pada 2001 itu bertujuan mengembalikan nostalgia kehebatan pemain ‘The Red Giants’ dan Singapura yang kerap bertembung dalam aksi final Piala Malaya dan Piala Malaysia.

Stesen televisyen RTM menjadi media elektronik rasmi TSSC manakala Berita Harian (BH) sebagai akhbar rasmi berbahasa Melayu manakala ‘The Star’ untuk bahasa Inggeris.

Tahun lalu, di venue yang sama, Pilihan Selangor merampas kembali Piala Sultan Selangor selepas mengalahkan Pilihan Singapura 5-3 menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 selepas 90 minit perlawanan.

Skuad veteran Selangor menundukkan veteran Singapura 3-2, juga menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat 1-1 manakala skuad B-16 Selangor turut merangkul Piala Cabaran Sekolah Selangor-Singapura selepas menundukkan skuad B-16 Singapura 2-0.– BERNAMA