Malaysia Dateline

PIBG tuntut Azman bayar kerugian pada pelajar dan SK Permatang Janggus

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Permatang Janggus Pulau Pinang menuntut agar EXCO Kerajaan Negeri Kedah Azman Nasrudin membuat permohonan maaf serta membayar pampasan kerugian kepada pelajar dan pihak sekolah.

Dalam satu kenyataan, PIBG sekolah terbabit juga mendesak isteri beliau yang merupakan salah seorang guru di sekolah berkenaan dikenakan tindakan tatatertib kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya.

Ini kerana, katanya sikap tidak bertanggungjawab mereka sehingga menyebabkan hampir 600 pelajar dan guru mengalami kesusahan.

“Sebagai EXCO Kerajaan Negeri yang merupakan pemimpin utama negeri Kedah beliau sepatutnya menunjukkan contoh dan kuarantin diri beliau setelah pulang dari Sabah berkempen untuk kerajaan Perikatan Nasional.

“Namun, setelah pulang dari Sabah, beliau bertindak mementingkan diri dan tidak membuat ‘swab test’ sebaik pulang. Kejadian ini menyebabkan isteri beliau yang merupakan guru di sekolah kami positif.

“Tindakan beliau yang tidak bertanggungjawab menyebabkan anak-anak kami merana dan mengalami kesusahan. Mereka tidak boleh meneruskan pelajaran dan terganggu kehidupan,” katanya.

Terdahulu, Exco Kedah terbabit disahkan positif Covid-19 selepas baharu daripada membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas menjadi kontak rapat kepada pembantunya yang disahkan positif Covid-19.

Isteri Exco berkenaan merupakan salah seorang guru di SK Permatang Janggus, beliau didapati tidak bertindak sewajarnya selepas suaminya disahkan positif COVID-19.

Guru berkenaan dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah sebelum dia pergi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kedah.