Malaysia Dateline

Pihak berkemampuan perlu tampil selamatkan Utusan Melayu, beri nafas baru, kata Mahfuz

 

Syarikat penerbitan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad , perlu diselamatkan sekali gus distruktur semula demi memastikan firma itu dapat meneruskan operasinya dalam menyalurkan berita kepada masyarakat.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata pihak berkemampuan perlu tampil untuk menyelamatkan syarikat berita tersebut yang sudah lama wujud di negara ini sejak akhbar sulungnya dilancarkan pada 29 Mei 1939.

Justeru, beliau turut menyeru kepada badan-badan korporat yang mempunyai sumber kewangan kukuh agar tampil menyelamatkan Utusan.

“Pengambilalihan syarikat ini membabitkan pelaburan, jadi ia harus melihat kepada mereka yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk membuat pelaburan dan juga membeli saham.

“Walaupun saya pernah berhadapan dengan pelbagai laporan tidak baik daripada Utusan, tetapi saya tidak berdendam kerana ia adalah media yang sangat berjasa kepada negara kita dalam konteks menyampaikan laporan berita,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai isu yang sedang membelenggu syarikat akhbar berusia 80 tahun itu, yang turut diperkatakan akan menghentikan cetakan akhbarnya Utusan Malaysia dan Kosmo! dalam masa terdekat ini.

Selain menyelamatkan syarikat Utusan Melayu itu, Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH berpendapat, syarikat berita tersebut perlu diberikan nafas baharu berbanding pada sebelum ini.

“Syarikat akhbar ini perlu diberikan nafas baharu agar ianya tidak tersasar daripada asas media dan menjadi penyebar maklumat serta melaporkan berita-berita yang benar tanpa melibatkan unsur politik,” ujarnya lagi.

Semalam dalam sidang media Pengerusi Eksekutif syarikat itu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzirdipetik berkata dakwaan penutupan syarikat yang mengeluarkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo itu adalah tidak benar, walaupun mengakui keadaan kewangan syarikat berusia 80 tahun itu adalah ‘tenat’.

Abdul Aziz berkata bagi membantu memulihkan keadaan kewangan syarikat itu pihaknya terpaksa menaikkan harga jualan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sebanyak 50 sen senaskah, bermula Jumaat ini.