Pihak berkuasa dipohon beri perhatian, bela nasib bekas perajurit

Mohd Ali Alang Wahab

Sebagai bekas tentera sudah pasti laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! tidak mudah lekang dari ingatan maupun sanubari.

Sejak berkhidmat dalam Angkatan Tentera, Mohd Ali Alang Wahab dari Padang Rengas, Perak tidak pernah lupa akan laungan keramat tersebut.

Malah katanya setiap kali tibanya ulang tahun kemerdekaan, pengalaman beliau melakukan terjunan-terjunan merbahaya sehingga mencecah 12,000 kaki tetap menjadi nostalgia yang tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini.

Beliau yang kini terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak setelah mengalami kebas dari bahagian pinggang sehingga ke bahu.

“Saya kerap melakukan terjunan sejak tahun 1975 sehinggalah tahun 1982 semasa berkhidmat dengan tentera dahulu.

“Sejak berkhidmat dalam tentera saya telah melakukan sebanyak 278 terjunan sehinggalah berhenti dari tentera setelah berkhidmat selama 14 tahun.

“Apa yang amat diharapkan kerajaan dapat membantu dengan memberi pertimbangan terhadap segala sumbangan yang telah diberikan sehinggalah kesihatan tidak menggalakkan kini,” jelasnya.

Mohd Ali Alang Wahab yang pernah melakukan terjunan sebanyak 278 kali semasa dalam tentera kini terpaksa bertongkat.

Beliau juga berkata, sokongan kerajaan amat diharapkan supaya nasib bekas tentera tidak berpencen turut mendapat pembelaan.

“Ramai antara bekas tentera yang pernah berkhidmat belasan tahun tetapi tidak diberi penghargaan, sedangkan kebanyakannya sudah uzur dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Jika dapat kami berharap elaun sara hidup secara berterusan diberikan kepada bekas-bekas tentera tidak berpencen.

“Kini kami terpaksa menanggung kesihatan yang tidak menggalakkan akibat tugasan merbahaya yang dilakukan semasa berkhidmat dalam tentera selama belasan tahun,” tegasnya.

Oleh kerana itu katanya, jabatan hal ehwal veteran tentera maupun persatuan bekas tentera, pertubuhan veteran tentera dan seumpamanya harus turun padang untuk melihat lebih dekat kedudukan begitu ramai bekas tentera yang menghadapi seribu satu macam permasalahan selepas tidak lagi berkhidmat dengan angkatan tentera.