Pihak berkuasa perlu siasat pengadu babit Pengerusi MyWatch, kata MP DAP

Pihak berkuasa perlu siasat pengadu babit Pengerusi MyWatch, kata MP DAP

Penyiasatan jenayah yang dibuat secara sambil lewa dan cincai serta membawa kepada pendakwaan salah, mesti dijadikan satu kesalahan di sisi undang-undang kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

Beliau berkata, pihak berkuasa sepatutnya kini menyiasat pengadu dalam kes membabitkan Pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) R Sri Sanjeevan, sekiranya laporan palsu telah dibuat.

“Ini bagi mengelakkan pendakwaan yang dibuat secara mala fide, selain mempertingkat kualiti siasatan jenayah di negara ini.

“Lebih ramai mangsa telah dan akan merana akibat pendakwaan salah sekiranya para penyiasat yang tidak cekap dan tidak beretika ini tidak dipecat daripada badan-badan penguatkuasa.

“Dalam kebanyakan kes, mangsa-mangsa tidak bersalah tidak mempunyai sebarang pilihan tindakan terhadap sesiapa pun, termasuk kerugian melibatkan yuran guaman, masa yang telah dibazirkan untuk turun naik mahkamah, masa yang terbazir di dalam lokap selain aib yang ditanggung, setelah berjaya melawan pertuduhan-pertuduhan jenayah terhadap mereka.

Lim Lip Eng

“Lebih teruk lagi, merekalah yang terpaksa menanggung kos guaman sekiranya pihak pendakwa raya berhasrat untuk merayu keputusan mahkamah,” ujarnya dalam kenytaan hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya kelmarin telah membebaskan Sanjeevan daripada tuduhan menghina bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di laman facebook.

Peguam Sanjeevan memberitahu media bahawa pihak pendakwa raya mendakwa bahawa Sanjeevan telah menulis ‘Khalid, are you an idiot?’ di Facebook, namun tidak membuktikan bahawa akaun Facebook itu benar-benar milik Sanjeevan. Mahkamah membebaskan beliau atas alasan tersebut.

Menurut Lip Eng lagi, kegagalan pihak berkuasa untuk mendakwa Sanjeevan membuka kotak Pandora tentang betapa selekeh dan cincainya penyiasatan jenayah di negara ini.

“Pertama sekali, adakah SKMM telah memutuskan secara sah bahawa akaun terlibat adalah akaun Sanjeevan? Atau adakah SKMM langsung tidak pasti?

“Selain SKMM, apakah wujud sebarang siasatan polis untuk memutuskan siapa pemilik akaun Facebook terbabit?

“Akhir sekali, adakah Jabatan Peguam Negara telah terkeliru dengan siasatan sehingga boleh mendakwa Sanjeevan?,” soalnya.

CATEGORIES