Malaysia Dateline

Pihak berkuasa tempatan berstatus bandaraya akan guna BIM eSubmission pada 2021

Kesemua 20 pihak berkuasa tempatan bertatus bandaraya di Malaysia akan menggunakan teknologi Informasi Permodelan Bangunan (BIM) bagi penyerahan projek peringkat awal pada 2021, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Menerusi agensinya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), beliau berkata kerajaan menyasarkan untuk melaksanakan empat projek perintis tahun ini, secara usaha sama dengan empat pihak berkuasa tempatan untuk BIM eSubmission — pemeriksaan automatik bagi pelan bangunan di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam.

Pihak berkuasa tempatan berkenaan ialah Perbadanan Putrajaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Bersejarah  Melaka dan Majlis Perbandaran Kangar.

“Dalam mendepani persaingan sengit disebabkan oleh liberaIisasi pasaran, serta teknologi bangunan disruptif yang sudahpun berlaku dalam pasaran, industri pembinaan Malaysia tidak lagi boleh berpeluk tubuh dan membiarkan perkara itu berlalu melepasi kita.

“KIni tiba masanya untuk industri memberi lebih perhatian kepada teknologi terkini  seperti BIM, kerana langkah menerima pakainya merupakan kunci kepada pencetus perubahan untuk memastikan industri pembinaan kekal kompetitif di dalam negara dan antarabangsa,” katanya sebelum merasmikan Hari BIM 2019 di sini, hari ini.

Teknologi BIM akan memudahkan penyelarasan, komunikasi, analisis, pengurusan projek dan malah pengurusan aset, membolehkan pengguna untuk membina dengan lebih tepat, mengurangkan kesilapan,r kecil, mengurangkan pembaziran, keselamatan lebih baik dan meningkatkan kecekapan.

Teknologi, alternatif kepada rekaan model lebih baik dengan bantuan komputer 3D, akan membolehkan pemaju mengurangkan kerja berulang dan pertindihan lukisan bagi keperluan berbeza untuk disiplin bangunan kerana model model mengandungi lebih banyak maklumat daripada set lukisan, yang membolehkan setiap disiplin untuk beranotasi dan menghubungkan kepintaran mereka kepada projek.

Berikutan ia dilengkapi ciri kos efektif, jimat masa dan ciri positif yang lain yang mampu mengangkat industri pembinaan Malaysia ke tahap lebih tinggi, Syed Omar Sharifuddin pada sidang media yang diadakan kemudiannya, berkata kerajaan mungkin menimbangkan untuk mewajibkan penggunaan BIM kepada semua pemaju sama ada awam dan swasta di masa depan.

Ketika ini, tahap penggunaan BIM di Malaysia adalah 17 peratus berbanding 71 peratus di Amerika Syarikat, United Kingdom (39 peratus) dan Singapura (65 peratus).

Dengan peningkatan kesedaran terhadap manfaat teknologi, kementerian berharap dapat meningkatkan tahap penggunaannya kepada 30 peratus menjelang akhir tahun, kata Syed Omar Sharifuddin.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata agensi itu telah melabur RM3 juta untuk menubuhkan pusat myBIM, pusat sumber sehenti untuk pemain industri, yang dilengkapi kemudahan canggih yang membolehkan pengguna mereka bentuk model dan membayangkan projek bangunan dalam persekitaran simulasi.

Beliau berkata CIDB juga telah menubuhkan Tabung Skim Transformasi BIM  RM1 bilion pada 2017, yang digunakan untuk mendapatkan perisian BIM dan dana untuk program latihan bagi skim itu.

Pada 2018,  lebih RM350,000 diperuntukkan untuk skim ini dan lebih 30 syarikat telah mendapat manfaat.

“Tahun ini, CIDB memperuntukkan RM3 juta untuk memudahkan 72 syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, untuk menggunakan BIM. Melalui sokongan kewangan sedemikian, kami berharap dapat membangunkan lagi pembangunan pembinaan yang sedang berkembang pesat menerusi BIM,” katanya.

— BERNAMA