Pihak berkuasa Thailand buat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang

Pihak berkuasa Thailand buat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang
Dua belas individu berkenaan termasuk Ketua Parti Future Forward, Thanathorn Juangroongruangkit, 40.

Pihak berkuasa Thailand memfailkan aduan terhadap 12 individu, termasuk beberapa pemimpin pembangkang yang dikatakan menghasut dalam satu perbincangan awam yang diadakan di sini, baru-baru ini.

Dua belas individu berkenaan termasuk Ketua Parti Pheu Thai, Sompong Amornwiwat, 78; Ketua Parti Future Forward, Thanathorn Juangroongruangkit, 40; Ketua Parti Prachachat Wan Muhammad Nor Matha,75; Ketua Parti Puea Chat, Songkhram Kitlertpairote, 75 dan Ketua Parti Thai People Power Nikhom Boonwiset, 49.

Selain daripada mereka, bekas Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Nasional, Lt Jen Paradon Pattanatabut, 64, dan seorang pensyarah Universiti Kasetsart, Chalita Banthuwong dan seorang pensyarah daripada Prince of Songkhla University, di sini, Asama Mangkonchai, 45.

Pegawai Undang-undang Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand, Mej Jen Burin Thongpraphai berkata beliau memfailkan aduan rasmi terhadap 12 individu terbabit di Balai Polis Pattani, semalam.

“Aduan itu difailkan terhadap mereka kerana membuat kenyataan berbau hasutan dalam program itu di Pattani pada 28 Sept,” dakwanya dalam satu sidang media.

Beliau berkata perbincangan itu boleh menjejas keselamatan negara dan juga wilayah selatan Thai.

Mereka boleh didakwa melanggar Seksyen 116 Kanun Jenayah Thailand dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun.

Tujuh pemimpin pembangkang menganjurkan perbincangan mengenai cadangan pindaan perlembagaan.

Kira-kira 150 orang hadir dalam perbincangan yang disiarkan secara langsung dalam talian menerusi laman Facebook.