Malaysia Dateline

Pihak berwajib digesa jelaskan isu perkahwinan meragukan Timbalan Menteri

Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun) Negeri Kelantan hari ini mendesak pihak berwajib terutama Kerajaan Pas Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEIK) dan Timbalan Menteri Agama untuk menjelaskan perkara sebenar berhubung tuduhan perkahwinan meragukan yang melibatkan Timbalan Menteri Pertanian sebagaimana tular baru-baru ini.

Dalam suatu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kanun AMANAH Kelantan itu, pihak mereka memetik beberapa seksyen dan peruntukan daripada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 Negeri Kelantan sebagai rujukan dalam kes tersebut.

Antaranya ialah kebenaran berpoligami sebagaimana dalam seksyen 23 Enakmen tersebut yang menyatakan bahawa seseorang lelaki yang mahu berpoligami hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis daripada Mahkamah terlebih dahulu sebelum menambah seorang lagi isteri.

Kanun AMANAH Kelantan juga memetik peruntukan dalam seksyen 19 Enakmen tersebut yang menyatakan bahawa sesuatu akad nikah hanya boleh dijalankan setelah mendapat kebenaran berkahwin daripada pihak Pendaftar atau pihak Hakim Syarie.

Selain dari menggesa supaya pihak JAHEIK bertindak menyiasat status perkahwinan melibatkan Ahli Parlimen Tumpat itu, Kanun AMANAH Kelantan juga mengesa supaya pihak berkuasa agama itu mengambil tindakan jika berlaku kesalahan.

Kanun AMANAH Kelantan juga mengingatkan pihak berkuasa agama negeri itu agar bertindak segera dan memberi penjelasan kepada umum dan tidak bersikap adil tanpa pilih kasih, sesuai dengan imej Islam yang dibawa.

Jika sabit kesalahan, pelaku kesalahan tersebut hendaklah diheret ke mahkamah untuk dibicarakan dan dikenakan hukuman sebagaimana yang dialami oleh rakyat biasa.

Menurut Kanun AMANAH Kelantan, kes pernikahan meragukan oleh Timbalan Menteri ini amat serius berikutan penafian oleh Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat Thailand sama ada terlibat menguruskan pernikahan itu, mengeluarkan surat nikah kepada pasangan tersebut atau membenarkan akad nikah dilaksanakan secara dalam talian.

Kanun AMANAH Kelantan memberi amaran bahawa ketiadaan sebarang respon dan tindakan sama ada oleh pihak Kerajaan Pas Kelantan, JAHEIK serta Timbalan Menteri Agama merangkap Ahli Parlimen Pengkalan Chepa yang juga dari Kelantan itu, hanya akan menimbulkan kecurigaan dan tohmahan orang ramai terhadap pasangan pengantin baharu itu.