Malaysia Dateline

Pihak Grab didakwa masih belum bayar lebihan 5 peratus komisen

 

Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MeHDA) menggesa Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil tindakan segera terhadap syarikat e-hailing, Grab yang didakwa tidak memulangkan lima peratus komisen kepada pemandu mereka.

Presiden MeHDA, Daryl Chong berkata, ia susulan pihak Grab yang mengenakan 25 peratus bayaran komisen kepada pemandu mereka berbanding hanya 20 peratus yang ditetapkan oleh pihak MOT.

“Syarikat tersebut (Grab) membuat kenyataan menerusi aplikasi pemandu mereka pada 28 Julai lalu bahawa, tambahan lima peratus akan dikembalikan kepada pemandu pada Isnin lalu.

“Bagaimanapun, lebih 48 jam sejak kelmarin, pemandu-pemandu itu masih belum menerima satu peratus daripada bayaran balik lima peratus seperti yang dijanjikan pihak Grab.

“Selaras dengan undang-undang yang ditetapkan oleh MOT, semua pengendali e-hailing hanya dibenarkan untuk mengenakan yuran maksimum 20 peratus komisen pada semua tambang mulai 12 Julai tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Chong berkata Menteri MOT, Anthony Loke juga turut memberi peringatan tegas kepada semua pengendali e-hailing untuk mematuhi perintah komisen 20 peratus menerusi sidang akhbar pada 12 Julai lalu.

“Pihak Grab bagaimanapun tidak patuh kepada peraturan dan terus mengenakan ‘Manual-Accept’ sehingga 25 peratus bayaran komisen dari 12 hingga 28 Julai 2019,” katanya.