Pihak polis hanya jalankan tugas, nafi layan Tun Dr Mahathir seperti penjenayah

Oleh WAN SITI AMINAH

Pihak polis menafikan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang mendakwa dirinya dilayan seperti penjenayah oleh badan penguat kuasa berkenaan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dakwaan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sama sekali tidak benar berikutan pihaknya hanya menjalankan tugas.

Razarudin menjelaskan bahawa soal siasat dan rakaman percakapan melibatkan ahli politik veteran tersebut perlu dijalankan pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes.

Pihaknya juga terbuka untuk menukar lokasi keterangan dirakam sekiranya Mahathir rasa tidak selesa ia dilakukan di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, lapor Malaysia Kini.

“Pada pihak polis, kita tetap teruskan siasatan dan dikatakan (beri layanan seperti) penjenayah. Ini siasatan polis, kita perlu lengkapkan sisasatan. Kalau siasatan tidak lengkap, pihak polis seolah-olah (macam) berat sebelah.

“Sebab itulah polis rakam percakapan. Kalau tidak di Bukit Aman, kita boleh ambil di tempat sesuai yang Tun Dr Mahathir mohon,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.

Penafian dibuat selepas bekas Pengerusi Parti Pejuang (PEJUANG) itu mendakwa diri dilayan seperti penjenayah kerana disoal siasat lebih 10 kali sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Razarudin berkata, kertas siasatan membabitkan Tun Dr Mahathir ini akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa tiga hingga empat hari.

Difahamkan, percakapan diambil bagi melengkapkan kertas siasatan mengenai kenyataan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengenai masyarakat India yang didakwa tidak setia kepada negara.

“(Kelmarin) kita sudah ambil percakapan Tun Dr Mahathir dan siasatan diteruskan. Dalam masa tiga hingga empat hari lagi, mungkin kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak AGC, selepas siasatan kita selesai.” Ulasnya.

Terdahulu, Mahathir dalam satu temu bual bersama saluran televisyen satelit dari India mendakwa masyarakat India Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

Hal ini kerana, masyarakat India masih ‘terikat’ dengan negara asal berikutan tetap bercakap dalam bahasa Tamil dan mengamalkan adat serta budaya mereka sendiri.

Dakwaan itu telah mengundang reaksi negatif dari pemimpin negara dan juga aktivis yang bertindak melaporkan kenyataan berunsur perkauman itu kepada pihak polis.

Baca juga: Syarikat bas di Singapura tawar gaji RM17,666 sebagai pemandu, terima lebih seribu permohonan