Tular beberapa hari ini mengenai isu seorang pegawai kanan polis yang melanggar pelajar berusia 17 tahun hingga maut di Jalan Taman Jati, Meru.
Disebabkan itu, ramai bimbang ketelusan pihak polis dalam menyiasat kes yang melibatkan anggota mereka sendiri.
Menurut Kosmo, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri menegaskan bahawa sisatan akan segera dijalankan.
Siasatan itu termasuk daripada pelbagai sudut sebelum kertas pendakwaan berkenaan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Sehingga kini, Mohd. Yusri mengesahkan seramai tujuh saksi bebas telah tampil memberi keterangan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak dalam kes ini tidak kira siapa pun mereka mahupun apa latar belakang individu terlibat.
“Siasatan secara terperinci dan telus akan dijalankan bagi memberi keadilan kepada semua.
“Siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Pihaknya juga akan cuba mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan video papan pemuka kenderaan di sekitar kawasan kejadian bagi membantu siasatan.
Mohd Yusri turut memberi jaminan tiada kompromi diberikan dan mengharap orang ramai berhenti membuat sebarang spekulasi.
“Saya sebagai Ketua Polis negeri beri jaminan tidak berkompromi, kita akan pastikan kes ini mendapat kebenaran mengikut undang-undang,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan mengenai pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan, 44, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah direman tiga hari.
Tempoh reman selama tiga hari itu berlangsung sehingga Isnin depan.
Baca juga: Buka tabung sumbangan bayar kos guaman, Intan Saleh balas saman Izreen Azminda