Malaysia Dateline

Piket doktor kontrak berjalan lancar tiada insiden berlaku

Sebagaimana yang dirancang sekumpulan doktor kontrak hari ini mengadakan protas secara serentak bermula jam 11.00 pagi bagi menuntut jaminan pekerjaan dan peluang kerjaya yang lebih baik.

Mereka bergerak keluar secara beramai-ramai sebagai tanda tunjuk perasaan daripada pusat kesihatan di bawah seliaan Kementerian Kesihatan.

Tinjauan Malaysia Dateline di Hospital Kuala Lumpur mendapati protes doktor kontrak berjalan dengan lancar dan tidak ada sebarang kekecohan yang berlaku.

Para doktor kelihatan memakai baju berwarna hitam dengan menaikkan sepanduk Hartal Doktor Kontrak #tetap #Lawan dan memberitahu ‘saya doktor kontrak’.

Wakil Peguam daripada Kanun AMANAH turut bersama bagi meninjau protes berkenaan dan menjangkakan pihak polis akan memanggil jurucakap Hartal Doktor Kontrak untuk disoal siasat.

“Kami merasakan satu soal siasat oleh polis akan dibuat kepada jurucakap di HKL ini,” kata Peguam Kanun AMANAH.

Pergerakan tersebut dilakukan berdasarkan tiga keadaan iaitu kategori tidak kritikal yang menuntut doktor kontrak berkumpul dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di lobi hospital masing-masing dan bergerak keluar secara besar-besaran melalui pintu utama.

Sebahagian daripada Doktor Kontrak di HKL

sebanyak 24 hospital di seluruh negara dicadangkan menjadi pusat kepada gerakan hartal itu termasuk Hospital Tuanku Fauziah, Perlis; Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah; Hospital Pulau Pinang, Pulau Pinang; Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan; Hospital Taiping, Perak; Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak; Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang dan Hospital Sultan Ismail, Johor.

Hospital Sultanah Aminah, Johor; Hospital Melaka; Hospital Kuala Lumpur; Hospital Putrajaya; Hospital Sungai Buloh, Selangor; Hospital Selayang, Selangor; Hospital Shah Alam, Selangor, Hospital Ampang, Selangor; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Selangor; Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan; Hospital Umum Sarawak Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Tawau, Sabah dan Hospital Labuan turut terlibat.