Pikul tanggungjawab, jujur, ikhlas, titah Sultan Ibrahim

Pikul tanggungjawab, jujur, ikhlas, titah Sultan Ibrahim
Sultan Ibrahim almarhum Sultan Iskandar

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengingatkan barisan kepimpinan Exco kerajaan negeri Johor yang dilantik hari ini supaya memikul amanah serta tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas demi kepentingan rakyat.

Baginda bertitah barisan Exco perlu sedar bahawa jawatan yang disandang bukan untuk mencari kemewahan atau memperkayakan ahli-ahli parti, sebaliknya perlu menjalankan perkhidmatan dengan penuh integriti, dedikasi, adil dan saksama.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa janji-janji yang ditaburkan pada pilihan raya umum lalu perlu ditunaikan di samping memastikan pentadbiran yang telus.

“Kerajaan negeri mestilah bertindak mengikut prosedur, peraturan dan undang-undang,” titah baginda pada Majlis Istiadat Pengisytiharan Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor di Dewan Singgahsana, Istana Besar, di sini, pagi ini.

Titah baginda itu turut dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Menurut Sultan Johor, baginda juga akan meneliti setiap tindakan dan keputusan kerajaan negeri, di samping memberikan nasihat, teguran serta pandangan untuk memastikan kepentingan rakyat dan negeri dijaga.

“Saya tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk mengkhianati negeri dan rakyat saya atau cuba menghancurkan perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan hidup Bangsa Johor,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda turut mengingatkan barisan Exco yang dipilih supaya memberikan komitmen dan kerjasama yang penuh kepada Menteri Besar Datuk Osman Sapian.

“Sekiranya ada ahli Exco yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya, saya harap menteri besar tahu bagaimana untuk menyelesaikannya,” titah Sultan Ibrahim.

Seramai 10 Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor hari ini mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim. Turut hadir Osman.

Kesemua Exco yang mengangkat sumpah ialah Aminolhuda Hassan (Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani), Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar), Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu), Dr S. Ramakrishnan (Bekok), Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah), Dr Sahruddin Jamal (Bukit Kepong), Mazlan Bujang (Puteri Wangsa), Sheikh Umar Ali (Paloh), Tan Hong Pin (Skudai) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).