Malaysia Dateline

Pilih calon PH yang memperjuangkan prinsip keadilan, kata TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau akan memberi kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram sekaligus memberi majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 13 April ini.

Beliau berkata, pengundi perlulah membuat keputusan bijak dan tidak mengecewakan calon PH yang berjuang atas prinsip menegakkan keadilan.

“…sebab dia (Streram) gigih melawan segala ketidakadilan dia pergi mahkamah dan dia menang di mahkamah. Jadi menang di mahkamah biarlah dia menang dalam PRK juga tetapi mestilah diundi tuan-tuan..Harap pengundi DUN Rantau tidak kecewakan seorang yang berjuang atas dasar prinsip nak tegakkan keadilan

“Undi Rantau memberikan satu impak yang begitu penting dan bermakna untuk kami di PH,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Pengundi Mambau pada Selasa.

PRK Rantau yang akan diadakan 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan daripada Barisan Nasional dan dua calon bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menyeru rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan PH dalam usaha memperbetulkan negara sekaligus memberi satu perubahan yang benar-benar dirasai oleh rakyat.

“Kita baru sahaja nak masuk setahun yang sana nak masuk 60 tahun, berilah peluang itu kita mahukan,” katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang singgah di Masjid Kariah Kampung Sega untuk menunaikan solat Maghrib turut meluangkan masa melawat dua keluarga di Kampung Mambau iaitu keluarga pesakit diabetes, Abu Bakar Omar, 73, dan pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ibrahim Khamis, 66 tahun.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad yang juga penyandang Dun Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah.– BERNAMA