Malaysia Dateline

Pilih lima calon AWAN untuk pimpinan AMANAH Nasional bukti iktiraf wanita

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Negeri Kelantan dalam kenyataannya hari ini menyokong penglibatan lebih ramai Wanita dalam pimpinan tertinggi AMANAH Nasional.

Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, keputusan AWAN Nasional mengemukakan lima pemimpin wanita untuk dipilih bagi mengisi 27 kekosongan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional sesi 2019-2022 dapat membantu kecemerlangan parti tersebut.

Dr Hafidzah Mustakim

Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan AWAN Nasional pada 1 Disember lalu telah memutuskan lima pimpinannya untuk bertanding pada Sabtu ini iaitu bekas Ketua AWAN Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud; Ketua AMANAH Kawasan Rembau, Norwani Ahmat; Ketua AWAN Negeri Johor, Norhayati Bidin, Mariam Abdul Rashid serta Naib Ketua AWAN Nasional, Aida Yusof Rawa.

Mengulas lanjut, Dr Hafidzah berkata, pencalonan bersasar itu bagi memastikan komposisi wanita dalam Jawatankuasa Pimpinan tertinggi AMANAH bertambah sedikit menjadi 18.5 peratus sekaligus membantu AMANAH Nasional terus cemerlang.

“Kami berharap semua Perwakilan memilih kelima-lima calon yang terdiri daripada Pimpinan AWAN Nasional ini sebagai tanda pengiktirafan kepada penglibatan wanita dalam kepimpinan politik tanah air,” ujar Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu lagi.