Pilih pemimpin berdasarkan merit kerja, komitmen kepada parti, pesan Presiden AMANAH

Pilih pemimpin berdasarkan merit kerja, komitmen kepada parti, pesan Presiden AMANAH

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu menasihatkan ahli AMANAH di semua peringkat agar memilih pemimpin berdasarkan merit kerja dan komitment mereka kepada parti atau kebolehan tertentu yang ada pada mereka untuk kepentingan parti.

“Jangan kita memilih kerana ‘kumpulan kita’ seperti apa yang berlaku 2015 sehingga mengetepikan merit dan sumbangan mereka kepada parti,” kata beliau ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Pasir Salak Kali Ke-3 di Green Village Eco Resort, Pasir Salak petang semalam.

Dalam ucapannya, beliau turut mengimbau kembali peristiwa “gugur setandan” dalam pemilihan bekas parti beliau, Pas pada 2015 dan kesannya pada parti berkenaan.

Mohamad mengingatkan agar AMANAH perlu terus menarik lebih ramai ahli agar parti ini terus kuat dalam memposisikan diri di persada politik negara.

Apapun katanya, beliau menaruh keyakinan penuh kepada kebijaksanaan ahli untuk terus menjaga keutuhan parti dan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH).

Menyentuh mengenai mesyuarat tersebut beliau berkata, ironinya majlis petang itu berlangsung di sebuah resort di pinggir sungai di mana JWW Birch mati dibunuh pada masa dahulu.

“Tempat bersejarah yang menjadi simbol perjuangan rakyat melawan penjajah untuk mendapatkan kemerdekaan negara.

“Perjuangan rakyat berjaya menghalau penjajah memberi kemerdekaan negara,” kata Menteri Pertahanan itu.