Pilih pemimpin, parti yang tepat pada PRU14 nanti, kata Dr Hafidzah

Pilih pemimpin, parti yang tepat pada PRU14 nanti, kata Dr Hafidzah

Masyarakat perlu membuat pilihan yang tepat dalam memilih pemimpin atau parti semasa pilihan raya yang bakal diadakan nanti.

“Al-Quran telah mengajarkan kita untuk memilih pemimpin dan parti berdasarkan dua kriteria umum utama iaitu quwwah dan amanah,” demikian jelas Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Dr Hajah Hafidzah Haji Mustakim dalam kenyataannya.

Menurutnya, quwwah yang dimaksudkan beliau ialah berhubungkait kekuatan luaran.

“Ini boleh dinilai pada sudut kebolehan dan kemahiran serta mempunyai visi untuk mempimpin negara serta mengurus tadbir khazanah yang akan diserahkan kepadanya,” kata beliau.

Manakala amanah pula jelasnya, ialah kekuatan dalaman yang ada pada seseorang pemimpin yang akan bertanding nanti.

“Ia boleh dinilai dari sudut integriti, bebas daripada amalan rasuah dan penyelewengan yang merosakkan negara,” jelas Dr Hafidzah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengajak masyarakat memerhatikan lima tip yang boleh digunapakai dalam memilih calon pemimpin.

“Pertamanya, akhlak dan keperibadian calon, kedua ialah memiliki visi dan matlamat dan tahu cara untuk mencapainya, ketiga, seorang yang adil dalam meletakkan setiap perkara pada tempatnya.

“Keempat, individu yang amanah lagi dipercayai bebas daripada amalan rasuah dan sebarang penyelewengan dan peribadi yang bertanggungjawab dan berdisiplin dalam setiap perkara yang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengapa masyarakat perlu membuat pilihan yang tepat dalam memilih pemimpin.

7.4
OVERALL SCORE
4 user votes x 9.3
CATEGORIES