Malaysia Dateline

Pilihan keluar simpanan KWSP sebenarnya tidak wujud, bidas peguam

Biarpun kerajaan tidak memaksa dan memberi pilihan untuk mengeluarkan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun hakikatnya, ‘pilihan’ itu tidak wujud bagi rakyat Malaysia.

Peguam, Syahredzan Johan berkata, pilihan yang ada itu sebenarnya sekadar satu ilusi bagi golongan kurang berkemampuan, orang miskin dan mereka yang paling terkesan dengan wabak Covid-19.

Beliau berkata, bagi mereka yang tiada simpanan KWSP tentunya berhadapan cabaran besar oleh kerana tidak memiliki pilihan untuk tidak mengeluarkan wang.

“Mereka kata: Terpulang kepada anda. Keluar boleh, tidak keluar pun boleh. Tiada siapa memaksa. Ini pilihan buat rakyat.

“Tapi, untuk mantan menteri, mereka ada pencen. Dalam bank di merata-rata tempat ada simpanan sendiri.

“Ada juga yang memiliki duit poket sebanyak RM2 Juta. Jadi orang yang sebegitu memang tidak perlu sentuh pun simpanan yang ada. Mereka ada banyak pilihan.

“Tetapi untuk sebahagian rakyat di luar sana, ‘pilihan’ itu sebenarnya tidak wujud. Mereka tiada pilihan kecuali mengeluarkan duit untuk terus hidup,” katanya.

Desak kerajaan beri bantuan

Syahredzan yang juga Setiausaha Politik Lim Kit Siang berkata, mahu tidak mahu, mereka yang sememangnya tidak mempunyai banyak simpanan terpaksa membuat pengeluaran walaupun jumlah tabungan sebenarnya memang terhad.

Beliau turut melahirkan rasa hairan, entah mengapa ‘pilihan’ untuk mengeluarkan wang KWSP diuar-uarkan sebagai berita baik oleh pemerintah.

Ini kerana katanya, kira-kira 40 peratus pencarum KWSP tidak memiliki simpanan mencukupi dalam akaun kedua bagi membolehkan mereka mengeluarkan wang sebanyak RM500 selama setahun.

“Sebab itu ramai yang mendesak kerajaan memberi bantuan wang kepada golongan yang paling terkesan dengan krisis Covid-19 ini.

“Bukan memberi ‘pilihan’ kepada mereka yang sebenarnya tidak ada pilihan.

“Adakah rakyat patut berterima kasih kepada pemerintah kerana kita dibenarkan menggunakan duit simpanan sendiri?,” soalnya.

Justeru Syahredzan menegaskan, dalam keadaan krisis yang berlaku, mengkritik bukan bermakna seseorang mahu mengajak masyarakat membenci kerajaan.

Sebaliknya beliau berkata, teguran dan kritikan dibuat sebagai langkah supaya kerajaan memberikan yang terbaik untuk Malaysia dan rakyat seluruhnya.

“Kerajaan tidak boleh diberikan cek kosong. Teruslah bersuara, kerana apa lagi pilihan yang kita ada?,” soalnya lagi.