Malaysia Dateline

Pilihan raya bukan platform anjur bantahan, kataShafie Apdal

 Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menempelak pihak tertentu yang menggunakan platform kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis untuk mengadakan himpunan membantah keputusan kerajaan.

Beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata pilihan raya sebenarnya adalah medan atau ruang bagi calon dan parti bertanding untuk memperjelaskan pelbagai isu bagi menarik sokongan rakyat.

“Kita guna ruang pilihan raya (PRK Kimanis) untuk berkempen bukan protes,” katanya ketika ditemui pemberita pada program bertemu masyarakat Cina di Kampung Tabuoh Daingin, Jalan Kimanis di sini, hari ini.

Pagi tadi, ???????Himpunan Solidariti Rakyat Sabah Bantah Aman Pas Sementara Sabah (PSS) diadakan di Pekan Membakut, Membakut dekat sini. Perhimpunan itu dianjurkan dua badan bukan kerajaan dari Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata beliau difahamkan jumlah mereka yang menyertai himpunan itu tidak ramai dan bukan semata-mata penduduk di kawasan Kimanis.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata himpunan membantah PSS itu tidak mendapat sambutan dan ia tidak mencerminkan suara rakyat Kimanis.

“Adakah itu (jumlah yang hadir tidak ramai) merupakan penanda aras majoriti rakyat Sabah menolak (PSS),” soalnya.

Justeru, beliau  mahu rakyat menilai sendiri selepas pelaksanaan pas berkenaan dalam usaha kerajaan membersihkan Sabah daripada pendatang asing pada masa akan datang.

Pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan itu berkata pengeluaran PSS adalah bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

PRK Kimanis pada Sabtu ini, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Warisan, Datuk Karim Bujang dan calon Barisan Nasional Datuk Mohamad Alamin.

— BERNAMA