Malaysia Dateline

Pilihan raya dan politik manusiawi untuk rakyat?

Setelah dua Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di Sabah dan Melaka, sejauh manakah kita dapat mengukur darjat dan kualiti hidup pengundi di sana?

Pertanyaan tentang demokrasi, pilihan raya dan pengundi atau rakyat menyentuh aspek kehidupan dan pembangunan, apa yang hendak dibangun dan yang telah dibangunkan dan bagaimanakah martabat manusia dapat ditingkatkan.

Namun apabila melihat kondisi ruang politik kita akhir-akhir ini, ada indikasi bahawa tampaknya tidak banyak perubahan pada peta kehidupan rakyat Malaysia.

Semasa membuat keputusan mengadakan PRN Johor misalnya adakah Umno atau UBN bertanyakan rakyat sama ada perlukah pilihan raya diadakan? Sama juga seperti PRN di Sabah dan Melaka, kerenah ahli politik telah membawa kepada diadakan pilihan raya semula.

Mungkin soalan retorika yang timbul. Perlukah kerajaan merujuk kepada rakyat sekiranya mereka hendak mengadakan pilihan raya? Apabila hendak mengundi, parti-parti politik memerlukan rakyat, tetapi apabila telah dilantik tiada rujukan kepada rakyat. Mungkin ada yang berkata banyak kerenah pula jika bertanyakan rakyat.

Pilihan raya dan politik manusiawi untuk rakyat?

Tetapi ini adalah soalan asasnya, siapa yang berkuasa di sini, siapa Yang Berhormat sebenarnya? Selanjutnya sudah adakah ukuran kredibiliti parti pemerintah dan wakil rakyat yang hendak dinilai rakyat terhadap segala janji-janji dan manisfesto yang telah dinyatakan dahulu, adakah telah ditunaikan?

Sepi dan diam setelah dua PRN, tiada laporan mengenai prestasi parti-parti yang menang. Harus ada suatu kad laporan oleh organisasi rakyat menilal prestasi wakil rakyat yang mereka undi, bagaimanakah pencapaian mereka?

Kejadian banjir di Kuala Lumpur, Shah Alam, Kelantan dan Terengganu berada di bawah tanggungjawab Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk membangunkan dan merangka pelan pembangunan lestari dan mapan bagi mengelakkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan impaknya apabila “hujan yang luar biasa lebatnya”.

Demokrasi sehingga kini belum mampu mewujudkan sebuah peradaban di dalam ruang politik kerana komuniti politik yang membentuknya seperti parti politik itu sendiri tidak berupaya mengangkat martabat manusia ke tahap yang lebih tinggi manusiawi umpamanya.

Apa yang terdapat sekarang adalah komuniti politik yang kemaruk kuasa tanpa wawasan membina peradaban. Akhirnya manusia demokrasi dihimpun dalam daerah kepartian di mana persaingan menonjolkan pengaruh bagi memperolehi kuasa semakin memuncak.

Jika diteliti di dalam demokrasi, terdapat lima ranah kehidupan manusia, yang secara sinergis adalah penentu kepada kualiti kehidupan manusia: agama, seni, ekonomi, sains, politik, dan sosial. Melalui enam ranah ini manusia mampu membangun adab, ketakwaan, sensibility, estetika, kebenaran dan obyektiviti, kebebasan dan keadilan, serta kebersamaan dalam pengorbanan.

Keenam-enam ranah unsur ketuhanan dan kemanusiaan inilah yang membezakan ” sekadar politik” dengan ”politik pengorbanan”.

Jika mengadakan pilihan raya sekadar memenuhi tuntutan demokrasi iaitu mengundi maka ia sekadar politik untuk hidup.

Politik untuk hidup atau sekadar cari makan yang menggunakan cara apa pun demi survival (maka jadikan matlamat menghalalkan cara), semacam Machiavelianisme. Maka rasuah, duit kopi, tumbuk rusuk boleh saja dilakukan yang penting dapat kuasa dan menang.

Politik pengorbanan justru dibangun dan memperjuangkan keadaban, ketakwaan, sensibiliti, keindahan, kebenaran, kebebasan, kebersamaan, cinta melalui pengorbanan.

Kenam ranah itu pula yang membezakan antara komuniti politik manusiawi dan komuniti politik binatang. Kekuatan atas komuniti politik binatang berupaya terus menerus mengeksploitasi rakyat menyisihkan mereka demi kepentingan diri dan kelompok dengan mengondisikan mereka selamanya berada di bawah parti.

Di pihak lain, komuniti politik manusiawi membentuk kekuatan hidup sebagai tenaga pendorong bagi yang tersisih dan dizalimi mengangkat diri mereka agar keluar dari perangkap komuniti politik kebinatangan yang rakus dan kemaruk kuasa.

Kekadang berlakunya bio-politik semacam pertarungan terus-menerus di antara kekuatan-kekuatan ini untuk membangun bentuk kehidupan yang baik dan beradab.

Dalam komuniti politik binatang ahli politik menjadikan rakyat sebagai separuh manusia yang tidak mampu mengembangkan dan membangunkan kemanusiaannya secara penuh.

Hanya komuniti politik manusiawi yang sepenuhnya berupaya menghidupkan politik ke arah ketakwaan, keadaban, sensibilitI (terhadap rakyat), mandiri, keindahan, kebenaran, dan kebersamaan.

Kegagalan membangun diri yang penuh dalam ruang politik kita menyebabkan hilangnya sensibiliti terhadap kehidupan kebersamaan dalam dunia sosial, ekonomi dan keprihatinan kepada ajaran agama.

Dengan menjadikan ego sebagai pusat, elit politik rela mengorbankan dan memangsakan rakyat demi melanggengkan kekuasaan. OIeh itu makna pengorbanan yang asasi dalam politik kini menjadi tidak relevan lagi.

Dalam hubungan ini politik kehilangan dimensi cinta dan rasa kebersamaan sebagai rakyat dalam komuniti politik Maka rangkaian kes kejahatan (rasuah, manipulasi, nepotisme dan kleptoktrasi) terus bermaharalela. Impaknya akan tumpullah politik manusiawi dalam sensibiliti, rasa keindahan, kemandirian, kebenaran, keadilan, dan kebersamaan melalui pengorbanan.

Apa yang harus dilakukan selepas kemenangan dalam pilihan raya ialah membangunkan rakyat dengan enam ranah yang disebutkan di atas, rakyat dan pengundi dibangunkan kepekaan dan kecelikan dengan memiliki kekuatan-kekuatan sensibiliti, keindahan, pengetahuan, kebenaran, dan cinta.

Mampukah ahli-ahli politik kita menggerak dan melakukannya atau masih bernafas dalam strategi politik kebinatangan, berapa tender yang hendak masuk, apakah projek seterusnya, berapa wang yang perlu ditaburkan lagi bagi melanggengkan kuasa dan mengamalkan budaya politik korupsi dan tumbuk rusuk.

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)