Pilihan Raya Kampus UM kini dikawal bekas calon Aspirasi

Muhammad Luqman Hakim

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Pilihan Raya Kampus (PRK) sudah tidak asing lagi. Kami mengikuti kerancakan perkembangannya dari dekat bermula sekitar era 1970-an hingga kini.

Sebagai gerakan yang berusia enam dekad, PMIUM tetap bersama dalam agenda perubahan. Kali ini, PMIUM telah meletakkan sebahagian besar calon dan pendokong ANGKATAN MAHASISWA bagi memenuhi tanggungjawab kepimpinan dan demokrasi ini.

Rakan akrab kami sejak sekian lama iaitu Umany konsisten dengan kesetiaan menjadi pasangan regu dalam menghadapi liku-liku pilihanraya. Pengkisahan sejarah keakraban ini tidak pernah padam, ianya sejak awal penubuhan proksi politik kampus iaitu Nadi, Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya (GMUM), Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan terkini ANGKATAN MAHASISWA.

Saya cukup memuji kemunculan proksi-proksi baru seperti Demokrat yang menandakan dinamisme gerakan mahasiswa di Universiti Malaya. Perkara ini sekaligus membuktikan kesedaran politik dalam kalangan mahasiswa semakin mencerah dan baik sekali.

Pemain silih berganti. Nama-nama penting yang pernah terlibat di dalam arena politik kampus suatu ketika dahulu seperti Ustaz Mizra, yang kini sudah pun berjaya menjadi Pengetua Kolej Kediaman kelapan.

Tidak lupa kepada Encik Herman yang merupakan pegawai di Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA). Dua sosok ini merupakan bekas calon Aspirasi (Penggerak Mahasiswa) pada zaman mereka. Betapa ramai yang dahulu pernah bertanding atas tiket Aspirasi (sekarang dikenali Penggerak) akhirnya bekerja dengan HEPA.

Mereka ini merupakan sebahagian besar diuar-uarkan orang yang terlibat dengan menguruskan pilihan raya di HEPA sekarang. Dahulunya mereka adalah calon atau pun penggerak utama Aspirasi Mahasiswa.

Oleh itu, mahasiswa tidak perlu hairan kerana watak inilah yang terus bekerja dan bertanggungjawab bertindak memenangkan calon tajaan mereka. Kepincangan pengurusan PRK terus berlaku.

Pilihan raya hanya ibarat wayang ulangan yang diusahakan oleh HEPA bagi menjayakan misi Umno di kampus.

Jawatan Timbalan Naib Canselor (TNC) merupakan ‘political appointment’ bagi melaksanakan tujuan berkepentingan aparat politik Umno melalui Proposal 2020 tawan kampus yang pernah gempar suatu ketika dahulu. Sah, HEPA ibarat balaci Umno di kampus.

Jika diimbas kembali, ketika mana pilihan raya semakin hampir, HEPA bertindak melulu dengan mengubah peraturan pilihan raya demi memenangkan calon tajaan mereka.

Ini dibuktikan dengan peraturan ‘pointer’ (PNGK) akademik yang diubah seminggu sebelum pilihan raya demi memastikan calon Penggerak lulus bertanding.

Dahulu diletakkan syarat 3.0 ke atas sahaja boleh masuk bertanding. Tahun lepas 2.7 dan sekarang 2.75. Tujuan syarat pointer ini hanya mahu menyusahkan mahasiswa dan semua ini tidak munasabah.

Dukacita bagi sebahagian mahasiswa yang ingin menamakan diri bertanding, terpaksa akur terhadap peraturan kejam ini. Peratuan ini diubah sesuka hati dan membuta tuli oleh HEPA.

Jika benar mahukan pemimpin mahasiswa yang tinggi ‘pointer’nya untuk memimpin mahasiswa, kenapa tidak diletakkan sahaja syarat 4.0 atau senarai dekan yang layak masuk bertanding.

Bahkan, lebih wajar TNC HEPA atau para pensyarah yang lebih layak masuk bertanding kerana mempunyai ‘title’ Doktor ataupun PhD. Sebenarnya mahasiswa sudah cukup bijak dan matang untuk membuat pilihan. Serahkan sahaja kepada kebijaksanaan mahasiswa.

Kewujudan khemah-khemah Penggerak di kolej kediaman, gegantung di pintu-pintu masuk kolej kediaman dan memperalat mahasiswa Tahun 1 sebagai budak suruhan.

Mahasiswa Tahun 1 tidak mempunyai banyak pilihan, demi mendapatkan tempat kediaman pada tahun yang berikutnya maka terpaksa menjadi jentera sokongan. Sedangkan, ramai yang aktif dan terlibat dengan program kolej, tetapi tidak mendapat tempat di kolej.

Tekanan dan ugutan ini bukti ketidaktelusan pentadbiran dalam menjalankan pilihan raya ini. Ada juga calon yang dihalang berkempen seperti situasi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial. Calon-calon tidak dibenarkan untuk bertemu dengan pengundi (mahasiswa) tanpa sebab yang munasabah.

Perubahan sistem akan terus berlaku. Pada HEPA sistem tidak penting, yang utama bagaimana mereka mampu memanipulasi sistem untuk terus menang. Sungguh demokrasi kekal mati.

Asal daripada meraikan demokrasi melalui pengundian di kertas undi akhirnya ditukar kepada ‘e-voting’ yang diragui. Tempoh berkempen yang sangat singkat, peraturan pilihan raya sewenang-wenangnya diubah mengikut selera HEPA, kawasan mengundi dikategorikan mengikut zon bagi memudahkan calon tajaan HEPA menang dengan mudah.

Walau bagaimanapun, ucapan tahniah dan syabas atas kebijaksanaan mahasiswa dalam mewujudkan sebuah kerjasama politik mahasiswa yang terdiri daripada Angkatan, Demokrat dan Umany. Mereka bersama-sama mengangkat sembilan Agenda Mahasiswa yang akan diperjuangkan pada sesi kali ini.

Walaupun padang tidak rata tetapi mahasiswa tekal berjuang dan melawan. Usaha kesatuan ini wajar dipuji sebagai suatu daya dan upaya dalam menegakkan keadilan dan kebenaran di kampus tercinta ini.

Saya secara peribadi di atas nilai sebuah kesatuan yang meletakkan kepentingan mahasiswa sebagai agenda perjuangan bersama, PERJUANGAN-Angkatan, Demokrat dan Umany (PADU) sangat signifikan dan akan terus bersama perjuangan ‘student power’ ini.

Jelas saban tahun, HEPA tidak pernah berubah, bahkan semakin buas dalam mengurus pilihan raya yang tidak adil. Hari ini menentukan jatuh bangun kita di mana. Sebagai mahasiswa, gunakan hak kita untuk memilih yang terbaik demi kelangsungan perjuangan mahasiswa.

Semua bukti ini, tanpa saya meraguinya lagi, ketempangan dan kerosakan demokrasi kampus akibat sifat tamak dan gila kuasa oleh pihak HEPA dan sekutu-sekutunya.

Salam PERJUANGAN dari PMIUM!

* Penulis ialah Ketua Umum, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

5.7
OVERALL SCORE
: 0.0
2 user votes x 8.5
CATEGORIES
TAGS