30hb September 2022 Umno “Top Five” telah mengadakan perbincangan awal para Mesyuarat Kerja Tertinggi Umno (MKT). Antara lain yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan adalah mengesahkan bahawa PRU15 akan diadakan pada tahun ini juga. Dengan kata lain parlimen akan dibubarkan dalam jangkamasa terdekat sebelum 2022 mengangkat tabir.
Walaupun telah lebih 60 tahun merdeka dan menjadi parti yang menguasai pemerintahan negara, Umno masih lagi belum matang dalam membezakan antara Kerajaan Malaysia, Parti Politik, kuasa Perdana Menteri dan peranan Yang DiPertuan Agong menurut perlembagaan.
Kenyataan Ahmad Maslan jelas menunjukkan bahawa Umno itu kerajaan dan kerajaan itu Umno. Kuasa prerogatif Perdana Menteri telah dinafikan dan tanggung-jawab Seri Paduka Baginda YDPA dalam memberi perkenan pembubaran Parlimen seperti dinafikan. Ahmad Maslan telah membuat pengumuman awal seolah-olah “memaksa” YDPA memberikan perkenan tanpa Baginda dirunding terlebih dahulu.
Walaupun selama ini seolah-olah mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, namun tindakan ini merupakan satu kebiadapan. Walaupun Ahmad Maslan mengisytiharkan bahawa YAB Perdana Menteri akan menghadap YDPA dalam jangka waktu terdekat dan ini menggambarkan pula bahawa negara memiliki PM ‘remote control’. Presiden Umno kelihatan amat terdesak supaya PRU disegerakan dengan apa cara sekali pun. Sudah menjadi rahsia umum bahawa ia sangat terkait rapat dengan kes beliau yang masih belum selesai dan begitu juga dengan ketakutan jika banyak lagi yang akan terbongkar atau dibongkar jika masa yang lebih diberikan.
Kelihatan Umno/BN tidak berminat untuk mengadakan pilihanraya yang adil dan saksama. Semua jentera akan digerakkan untuk menabur semula segala janji politik perkauman, agama, janji projek mee segera dan sentimen kebencian. Sepertimana yang telah dan pernah berlaku sejak lebih 60 tahun pasca kemerdekaan. Seperti biasa pembangkang akan cuba dipalitkan dengan segala kekotoran, kebencian dan kebodohan, tiada masa hadapan dan pembunuhan karakter akan dilakukan.
Inilah tabiat yang tidak berubah-ubah dalam Umno/BN. Bagi mereka tiada siapa yang boleh memberikan masa hadapan yang cerah melainkan Umno/BN. Bagi mereka, Umno/BN sahajalah pembela agama walaupun batang tubuh mereka berserabai dengan palitan rasuah, mempergunakan agama dan mensucikan diri sebagai panglima jihad untuk membawa agama unggul dibumi Malaysia. Walhal jika itu benar, Malaysia telah menjadi negara progresif dan rahmat bagi seluruh rakyatnya. Namun ini tidak berlaku dan malah tidak pernah berlaku. Hakikatnya Umno/BN telah membahagi masyarakat kepada segmen yang mereka kehendaki bukan yang seperti yang dikehendaki oleh Islam yang sebenar.
Dalam hal berkait dengan PRU pada musim tengkujuh, Jabatan Meteorologi telah memberikan amaran mengenai hujan lebat berterusan dan ancaman banjir besar melebihi berncana banjir pada tahun-tahun yang lalu, Kaedah kerajaan menangani banjir pada tahun 2021 amat malang penuh kegagalan dengan kepincangan-kepincangan agensi berkaitan dan polisi kerajaan yang lemah. Kini pergerakan angin kencang sekeliling lautan Semenanjung dan Malaysia Timur amat membimbangkan. Jangkaan hujan berterusan ini turut dinyatakan oleh World Meteorological Organisation (WMO) dan beberapa pusat kajicuaca antarabangsa. Ini termasuk oleh Climate Prediction Centre (CPC) USA.
Keadaan cuaca buruk ini memerlukan kesiapsiagaan semua agensi pusat dan negeri bagi mengatasi bencana terutamanya kebimbangan ragutan nyawa rakyat disebabkan air naik yang tidak terkawal dan fenomena kepala air. Pembongkaran aktiviti tebangan balak dihutan bagi mengambil hasil balak dibeberapa negeri seperti Kelantan dan Kedah akan menyebabkan bertambah buruknya banjir samada di kawasan huluan dan hiliran
Akan tetapi Umno/BN tidak bimbang akan hal ini. Mereka terus mendesak YAB PM untuk menghadap SPB YDPA bagi menetapkan tarikh PRU15 dengan segera. Bagi mereka hal-hal berkaitan bencana bukanlah satu keutamaan. Kebimbangan mereka adalah keadaan yang menimpa nasib Najib Razak, Zahid Hamidi dan Rosmah Mansor serta deretan kes-kes dikalangan individu Umno/BN. Belum lagi Kertas Pandora yang didedahkan oleh Ketua Pembanggkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang tiada tindakan langsung. Isu penyiapan Kapal Tempur TLDM dan Kapal Pesisir untuk rondaan keselamatan negara semua adalah kegerunan Umno/BN jika skandal ini diteruskan pendedahannya. Ramai yang akan terpalit dan kekotoran najis korupsi dan salahguna kuasa membelengu pimpinan Umno/BN.
Bagi mereka ‘persetankan’ bencana alam seperti banjir dan kemusnahan harta dan nyawa rakyat. Pimpinan Umno/BN termasuklah oleh salah seorang Ahli Majlis Teringgi menyatakan bahawa ‘kencing yang ditabur PH’ lebih bahaya dari bencana banjir. Inilah Umno/BN yang tidak mengerti langsung akan kesengsaraan rakyat, yang utama bagi mereka adalah tembolok dan perut mereka. Kuncu-kunsu Umno/BN, Cyber-Throper Umno, tukang karut banduan penjara Kajang juga telah mula bersuara dan bagi memastikan PRU15 akan terus mendapat perkenan SPB YDPA.
Tukang karut Umno/BN ini akan terus-terusan membentuk persepsi rakyat mengenai “Derita 22 Bulan”. Bagi kita yang berakal pun tidak faham derita apa yang dimaksudkan. Yang derita hanyalah bagi mereka yang mempunyai bilion ringgit dalam akaun, longgokan pelbagai jenis matawang yang ditemui dalam rumah, tidak termasuk lagi barang kemas, beg tangan dan pelbagai barang kemewahan yang dirampas oleh pihak berkuasa. Sebenarnya yang telah melimpahkan kecing hancing, tahi-tahi busuk dan sampah sarap kepada rakyat selama lebih 60 tahun pasca kemerdekaan adalah Umno/BN. Kita tidak nafikan kejayaan beberapa program pembangunan NAMUN disebalik projek itu ada lagi pihak-pihak yang mengaut keuntungan dan kekayaan melalui komisyen dan ‘up-front donation’. Kes-kes yang sedang dibicarakan seperti Felcra, projek Solar dan sebagainya adalah bukti gejala kencing hancing sambil berdiri oleh pimpinan Umno/BN dari generasi kegenarasi semuanya adalah bebanan kepada rakyat.
Selama ini juga rakyat ditanamkan bahawa merekalah pejuang bangsa dan agama. Hakikatnya merekalah yang telah membanjiri minda rakyat dengan kehamisan kencing rasuah, penipuan dan salah guna kuasa.
Apa resolusi rakyat? Bancian terkini menunjukkan lebih 78% rakyat belum mahu PRU di jalankan dalam suasana cuaca yang tidak menentu. Namun, strategi Umno/BN hanya mahukan bilangan pengundi tidak keluar mengundi tinggi. Strategi Umno/BN perlu membiarkan PRU15 diteruskan walau banjir berlaku, maka mereka akan boleh menggunakan semua jentera untuk mengangkut pengundi mereka sahaja untuk mengundi sebab itulah DS Zahid Hamidi telah menyatakan Umno/BN akan meredah banjir kecil atau besar bagi menghadapi PRU. Kenapa? Kerana mereka punya segalah kemudahan kerajaan untuk melakukan itu dan mereka mahu menang.
Juak-juak Umno, tukang karut banduan penjara Kajang akan terus-terusan mendendangkan dan menekan Istana dengan retorik untuk membina kerajaan stabil adalah dengan mengadakan PRU. Kerajaan baharu perlu dibentuk! Inilah kenyataan paling karut, kotor dan hancing. Kerajaan sekarang tidak stabil sebenarnya kerana Langkah Sheraton yang di terajui oleh Bersatu dengan sokongan dan dokongan Umno, Pas serta pengkhianat dari kalangan ahli parlimen PKR.
Jika tidak berlaku pengkhiatan dengan habuan jawatan dan rasuah ini maka kerajaan PH akan berjalan hingga akhir tempohnya. Jika tidak berlaku pengkhianatan dan gerakan menjatuhkan kerajaan dan penglibatan Mahiaddin dan kuncu-kuncunya bersama Umno/BN dan Pas maka tidak timbul isu ketidakstabilan. Yang mereka bimbang apabila PH menguruskan kerajaan yang bersih serta mendedahkan akan salah-laku dan salah-guna kuasa bagi membina semula Malaysia yang lebih berintegriti dan dengan amalan baik (good governance). Inilah kembimbangan mereka pada ketika itu, bukan disebabkan pilihan siapa Peguam Negara atau Ketua Hakim Negara.
Kebimbangan mereka semasa Langlah Sheraton bukan kerana kestabilan mahupun untuk membina kononnya kerajaan Melayu-Islam yang lebih kukuh. Hakikatnya mereka menggunakan semua retorik keagamaan dan bangsa untuk berkuasa dan ‘mengaut apa yang ada’. Itulah hajat mereka! Mana dia RUU355, mana dia transformasi menyeluruh parlimen dan kerajaan. Kalau Umno/BN berkuasa semula saksikanlah semua salah-laku, rasuah, pembunuhan amalan baik/good governance, kronisma dan nepotisma akan berulang kembali. Wang ringgit serta kekayaan akan berlegar di kalangan mereka.
Rakyat akan kekal di teratak-teratak buruk, industri tidak akan berkembang karana pelabur antarabangsa sedang memerhatikan gerakan kotor ini, projek-projek akan berlaku tapi dengan harga luar jangkaan demi untuk mengaut komisyen dan ‘upfront donation’, harga barangan akan terus melambung sebaik sahaja selepas PRU, ketidak-adilan oleh kerajaan pusat kepada negeri akan terus berlaku, agama akan jadi bahan mainan politik bukan untuk membina akidah yang bersih, sentimen perkauman akan terus meningkat dan semua agenda refomasi akan ke’laut’.
Apakah yang hampir pasti berlaku? Dimanakah pada ketika itu Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara yang sentiasa diperlekehkan ketika melaksanakan undang-undang mengikut perlembagaan terutamanya bagi kes-kes berprofil tinggi. Adakah kedaulatan undang-uadang dan keluhuran perlembagaan akan dipertahankan? Penulis amat ragu.
Ketika kes 1MDB dan SRC International sedang disiaasat sebelum PRU14, kita menyaksikan Peguam Negara telah di’bersarakan’, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah ditempatkan di UiTM, Ketua Pegawai Penyiasat SPRM ditukarkan ke JPM bersama Pegawai Undang-Undang SPRM, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM terpaksa keluar negara (katanya ke USA) kerana ancaman yang beliau hadapi. Jadi adakah kita mahu ini berulang?
Umno/BN tidak pernah kesal dan serik, serta tidak mungkin akan meninggalkan tabiat buruk mengecingkan rakyat dengan kencing yang hamis, hancing dan malah beracun.
Rakyat Malaysia, jika berlaku juga PRU15 dalam waktu terdekat maka terpaksa meredah hujan, mengharungi banjir dan badai yang melanda. Walaupun pada ketika itu Umno/BN turut menambahkan takungan air dengan kencing-kencing mereka, namun tampillah dan pastikan Umno/BN tenggelam dan meminum kencing mereka sendiri. Pastikan yang terpenjara kerana salah laku rasuah tidak dibuka puntu penjaranya lebih awal, pastikan yang masih melalui proses pengahakiman melaluinya dengan adil, jika terpaksa terpenjara maka itulah yang setimpal dengan perbuatan jahat mereka dan pastikan yang mempergunakan agama untuk mengaburi mata rakyat dengan serban serta jubah tidak menguasai kerajaan kerana mereka adalah penunggang-penunggang agama.
Tegakkan Malaysia yang Adil, berIntegriti, Aman, Saksama dan jauhi Rasuah dan Salah-guna Kuasa. Raja didaulat, Perlembangaan dijunjung dan Undang-Undang didaulatkan. Adakah kita mahu 38 orang ahli parlimen Umno/BN menentukan masa-hadapan Negara?
———–
Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walaubagaimanapun penulisan ini adalah merupakan pendapat penulis dan tiada kaitan dengan pendirian akademi.