Pilihan raya mengejut di Pulau Pinang, Kon Yeow harap pendirian rasmi PKR, Amanah

Pilihan raya mengejut di Pulau Pinang, Kon Yeow harap pendirian rasmi PKR, Amanah

Parti Tindakan Demokratik (DAP) berharap dua parti komponen Pakatan Harapan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) dapat menyatakan keputusan rasmi masing-masing berhubung cadangan mengadakan pilihan raya mengejut di negeri Pulau Pinang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang berkata demikian pada Majlis Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang : Masa Depan Pulau Pinang, malam tadi.

“Bagi pihak DAP Negeri Pulau Pinang, jawatankuasa negeri dalam mesyuarat Ahad lepas sebulat suara menyokong keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP untuk mengadakan pilihan raya mengejut ini.

“Kita (DAP Negeri Pulau Pinang) tidak akan membuat keputusan secara sendirian, tetapi mengadakan pilihan raya negeri lebih awal ini mesti dibuat secara bersama dengan pemimpin Pakatan Harapan.

“Oleh itu, kita (DAP) masih menunggu keputusan daripada rakan-rakan Pakatan Harapan untuk menyatakan pendirian rasmi masing-masing dalam beberapa hari ini,” ujar Kon Yeow di Dewan Masyarakat Penyayang di sini.

Wakil PKR, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, usaha memastikan mandat rakyat bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus kepada Pakatan Harapan harus menjadi keutamaan ketiga-tiga parti.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah mangsa pendakwaan terpilih yang pertama.

“Tidak kira bila pilihan raya mengejut ini akan diadakan di negeri ini, kita mesti terus bekerja bersama, kerana saudara Lim Guan Eng adalah mangsa pendakwaan terpilih kedua,” ujar Abdul Malik.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I) Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) serta beberapa Barisan Exco Kerajaan Negeri turut berucap pada majlis ini.

Turut berucap, Presiden Amanah, Haji Mohamad Sabu dan Dato’ Mujahid Yusof Rawa (Pengerusi Amanah Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak).

TAGS