Malaysia Dateline

Pilihan raya mungkin selepas Hari Raya

Sekiranya Muhyiddin Yassin tiada sokongan majoriti yang selesa akibat urusan ‘jual beli’ Ahli Parlimen pembangkang sudah tidak laku, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka berlangsung pertengahan Jun depan, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berpendapat Muhyiddin tiada pilihan untuk membubarkan Parlimen kira-kira tiga bulan lagi iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri jika beberapa wakil rakyat lagi tidak ‘lompat’ menyatakan sokongan terhadapnya.

“Andaikan Muhyiddin gagal memperoleh majoriti yang selesa, mungkin mahu beli dua, tiga Ahli Parlimen pembangkang, sudah tidak boleh, jual belinya sudah tidak laku, ketika dia tiada majoriti, waktu itulah dia akan isytiharkan pilihan raya,” katanya.

Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Parlimen Parit Buntar itu menegaskan jumlah sokongan majoriti menjadi indikator untuk Muhyiddin membubarkan Parlimen sekali gus mengadakan pilihan raya.

“Kalau itu realiti yang Muhyiddin hadapi (tidak mempunyai majoriti), maka pada pandangan saya pilihan raya semakin hampir.

“Saya mengandaikan pembubaran itu mungkin akan berlaku dalam masa terdekat mungkin selepas Hari Raya atau pertengahan tahun ini,” katanya menerusi siaran langsung Bicara YB di Facebook JOM Channel malam tadi.