Pilihan raya PBT: Usaha lahirkan pemimpin prihatin dan berkualiti

Pilihan raya PBT: Usaha lahirkan pemimpin prihatin dan berkualiti

Parti AMANAH Negara Wilayah Persekutuan (AMANAH WP) menyambut baik usaha Kementerian Wilayah Persekutuan untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melantik Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Naib Pengerusi Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi menganggap usaha ini amat baik bagi melahirkan pemimpin masyarakat yang prihatin, unggul dan berkualiti dalam membangunkan Bandaraya Kuala Lumpur.

Namun begitu, AMANAH WP juga bersetuju dengan pandangan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bahawa sebelum pilihan raya PBT dijayakan, kajian menyeluruh perlu dibuat kerana ia melibatkan pindaan perlembagaan dan aspek perundangan.

“Kerajaan tidak perlu tergesa-gesa dalam melaksanakannya agar ia dapat dibuat dalam keadaan persediaan yang sempurna dan kajian yang mendalam.

“Cadangan pelaksanaan pilihan raya PBT ini juga mendapat sokongan dan bantahan daripada pelbagai pihak, serta melibatkan banyak perkara lain seperti mekanisma, kos, peraturan, keselamatan dan lain-lain lagi,”katanya kepada Malaysia Dateline.

Justeru, kata beliau, langkah berhati-hati, cermat dan teliti mesti diambil kira agar ianya tidak merugikan negara di masa akan datang.

“Apa yang penting, hasrat daripada usaha pilihan raya PBT adalah untuk mewujudkan masyarakat yang sama-sama bertanggung jawab dan aktif dalam memberi sumbangan dalam membangunkan bandaraya ini khasnya, dan negara ini amnya.

“Kita juga mahu melahirkan pemimpin tempatan yang cakna, peka dan mempunyai visi serta wawasan untuk negara,”ujarnya.

Pengalaman di kebanyakan negara yang melaksanakan pilihan raya tempatan ini katanya, berjaya mewujudkan bandaraya yang bersih, tersusun, sistematik, aman dan bebas dari rasuah.

Bahkan tambahnya, banyak pemimpin utama negara luar yang lahir selepas menjadi Datuk Bandar yang efektif, karismatik dan dinamik.

Dengan adanya pilihan raya PBT, beliau berpendapat banyak pihak dapat memberikan peranan secara langsung dan ia akan menambah rancakkan lagi proses demokrasi yang subur di negara ini.

“Pilihan raya ini bakal mewujudkan budaya persaingan sihat di mana parti politik, gabungan parti politik mahupun NGO dapat berperanan menyampaikan suara mereka termasuk harapan, manifesto, atau tawaran mereka kepada rakyat.

“Dengan demikian, budaya ‘pak turut’, ‘yes bos’ serta tunduk dan akur kepada kehendak menteri atau pemimpin atasan tertentu tidak lagi berlaku kerana pemimpin masyarakat juga berkuasa dan mempunyai peranan yang besar dalam bidang kuasa mereka,” katanya.

Tegasnya, datuk bandar juga dapat memainkan peranan untuk “semak dan imbang (check and balance)” dengan menasihati dan memberi teguran kepada mana-mana pemimpin yang melangkaui batas kuasa yang diberikan.

“Jika ini dilaksanakan dengan baik, budaya rasuah di kalangan penjawat awam atau pemimpin politik juga dapat dibenteras kerana mereka dipilih secara demokratik melalui proses pilihan raya, bukannya secara automatik diangkat dan dilantik oleh pemimpin tertentu.

Justeru katanya, prinsip akauntibiliti kepada warga kota yang memilih itu akan menjadikannya lebih telus dan bertanggungjawab dalam segala tindakan dan keputusan yang dibuat.

 

 

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote