Malaysia Dateline

Pilihan raya Presiden AS: Bekas anggota kongres umum cabar Trump

Presiden Donald Trump bakal berdepan saingan sengit apabila seorang bekas anggota kongres mengumumkan akan bertanding bagi merebut jawatan presiden pada pilihan raya 2020, lapor agensi berita Anadolu.

Bekas anggota Kongres mewakili Midwestern Illinois, Joe Walsh, membuat pengumuman itu pada Ahad menerusi rangkaian televisyen Amerika Syarikat ABC.

Beliau menuduh Trump tidak kompeten selain sering berbohong hampir setiap kali “membuka mulutnya” dan “mencetuskan ketaksuban.”

“Kawan. Saya akan sertai. Kita tidak boleh berikan empat tahun lagi kepada Donald Trump. Sebab itu saya bertanding untuk jadi Presiden,” kata Walsh di Twitternya.

Slogan kempen Walsh adalah “Be Brave.”

Selepas menganggotai Kongres selama sepenggal pada 2011 hingga 2013, Walsh sering muncul dalam rancangan radio.

Penganalisis politik berpendapat Walsh mempunyai peluang tipis, memandangkan Trump menerima 80 peratus sokongan di kalangan pengundi Republikan di seluruh negara.

Pada April bekas Gabenor Massachusetts Bill Weld turut mengumumkan akan mencabar Trump, namun mendapat sokongan sedikit setakat ini.

Pilihan raya presiden ditetapkan pada 3 November 2020.– BERNAMA