Pilihan raya tergempar PKR mahu teruskan perbincangan

Pilihan raya tergempar PKR mahu teruskan perbincangan

Biro politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermesyuarat malam tadi menetapkan pendirian parti itu mahu meneruskan perbincangan dengan pimpinan parti komponen Pakatan harapan mengenai isu mengadakan Pilihan Raya tergempar di Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan  Ismail menyebut pimpinan PKR bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan pimpinan parti-parti komponen Pakatan Harapan mengenai isu ini melalui Biro Politik PKR.

Sebelum itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan akan  memberi taklimat kepada pemimpin PKR malam tadi bagi mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu, tetapi beliau tidak hadir malam tadi.

Menurut laporan itu, Wan Azizah tidak berminat mengadakan pilihan raya dan pemimpin PKR dari Pulau Pinang diminta menghadiri mesyuarat untuk memberikan maklum balas mereka.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa jawatankuasa eksekutif pusat DAP membincangkan pilihan raya negeri semasa mesyuarat dan memohon pandangan sekutunya mengenai perkara itu.

Pilihanraya negeri itu dilihat sebagai satu percubaan untuk mewujudkan semula kedudukan Lim memandangkan tuduhan rasuah terhadapnya

Gabungan diketuai DAP telah berkuasa di Pulau Pinang sejak 2008 dengan Lim sebagai ketua menterinya. Berikutan pilihan raya negeri 2013, DAP memiliki 19 kerusi, PKR 10 kerusi dan PAS 1 kerusi. BN pula mempunyai 10 kerusi.

Penganalisis politik bersetuju bahawa jika pilihanraya negeri diadakan, Lim dan DAP boleh meraih undi simpati tetapi mempersoalkan jika ia merupakan perkara betul untuk dilakukan.

TAGS