Malaysia Dateline

Pilihan warna putih bertepatan mesej kedamaian, keamanan

Ribuan rakyat berpakaian ber warna putih dilihat memenuhi Dataran Merdeka hari ini bagi menghadiri perhimpunan Solidariti Kedamaian (Solidarity 4Peace)

Walaupun kehadiran tidak menepati sasaran awal 10,000 oleh pihak penganjur  tetapi ia bukan menjadi ukuran kepada  2,000 peserta yang datang berhimpun untuk bersama-sama  menyampaikan mesej kedamaian dan keamanan kepada dunia.

Himpunan  anjuran Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional ini berlangsung secara aman dengan kawalan ketat pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Himpunan  yang pertama kali diadakan selepas tragedi tembakan rambang yang mengorbankan 50 orang awam di Christchurch turut disertai beberapa anggota badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.

Antaranya, NGO Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Selain disertai 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), turut serta termasuk persatuan agama seperti Sikh, Taoism, Buddha, Kristian, Hindu dan Islam. Tidak melepaskan peluang, selebriti Tanah Air Negara, Nur Heliza Helmi sebagai pengacara Majlis.

Turut  merasakan kesedihan  dan kekesalan di atas insiden yang berlaku di Christchurch himpunan yang dianjurkan kerajaan itu turut dihadiri wakil-wakil dari New Zealand, Turki dan Australia.

Wakil-wakil tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage, Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci dan wakil Suruhanjaya Tinggi Australia, Andrew Goledzinowski.

Seawal jam 6.40 pagi lagi, peserta yang hadir dari segenap negeri mula memenuhi lokasi awal berhimpun di pekarangan pusat beli belah Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).Namun tidak kelihatan peserta yang menunggu di Masjid Negara.

Perarakan perhimpunan menuju ke Dataran Merdek bermula jam 8 pagi.

Bantuan pihak polis yang menutup beberapa laluan juga melancarkan pergerakan peserta himpunan yang datang dari arah laluan Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk menuju ke Dataran Merdeka atau Jalan Raja.

Ribuan peserta yang berarak bersama-sama melaungkan ungkapan hidup kedamaian, hidup keamanan, tolak kebencian dan tolak keganasan.

Sebaik peserta memenuhi perkarangan Dataran Merdeka, agenda perhimpunan diteruskan dengan aturan ucapan wakil-wakil pemimpin, disusuli wakil dari Negara luar seperti New Zealand, Australia dan Turki.

Antara yang menyampaikan ucapan umum, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Seri Mujahid Yusof; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad; Menteri Industri Utama, Teressa Kok; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Seperti biasa, terdapat penjual makanan dan minuman di sekitar tempat peserta berhimpun, penjual mafla dan baju berslogan ‘Standing In Solidarity’ dibuka di sepanjang jalan sama.

Bagi pengamal media, tiada sekatan keluar masuk dilakukan di lokasi perhimpunan, sekali gus memudahkan mereka membuat liputan perjalanan himpunan yang bermula seawal jam 7.00 pagi dan berakhir pada jam 10.00 pagi itu tanpa perlu berasak-asak untuk membuat liputan terbaik.