Malaysia Dateline

Pilihanraya dan mahasiswa

Pilihanraya umum 1986, Ustaz Ismail Noh salah seorang pensyarah Akademi Islam yang juga naqib kami bertanding Dun Pengkalan Pasir di parlimen Pasir Mas. Pada masa itu kami ditugaskan untuk bekerja bagi membantu kerja-kerja pilihanraya umum. Kami pergi dengan dua bas ke Kota Bharu dan beberapa bas ke beberapa negeri yang telah ditetapkan.

Kami dikehendaki bertugas sepanjang tempoh kempen pilihanraya. Bahkan kami pergi sebelum penamaan calon. Tiadalah kami membantah walaupun ia terpaksa kami tidak hadir kelas lebih dua minggu. Ini adalah jihad. Tidak hadir kelas untuk memastikan kemenangan Islam adalah lebih utama dari membiarkan Umno menang.

Pada masa itu, UM mengamalkan sistem penggal dalam pengajiannya. Ini bermakna kami hanya ada sekali sahaja peperiksaan iaitu pada akhir tahun. UM juga tidak mempunyai dasar mewajibkan mahasiswa masuk kelas atau kuliah. Tiada kedatangan kecuali kelas tutorial. Walaupun ada begitu, para pensyarah tidak begitu menekankan sangat. Barangkali inilah yang dikatakan ‘kebebasan akademik’.

Sebagai mahasiswa tentulah mengetahui keutamaan yang perlu ditekankan. Mahasiswa tidak perlu dilayan seperti budak sekolah. Mahasiswa boleh mengatur hidup mereka. Mahasiswa mempunyai pemikiran sendiri yang tidak terikat dengan mana-mana peraturan, hatta Akta Universiti dan Kolej. Begitulah pendirian kami ketika itu.

Kami tentang Akta Universiti dan Kolej sebagai satu peraturan yang menghalang kebebasan akademik dan aktiviti mahasiswa. Meskipun kami tidaklah faham sangat butiran satu persatu akta itu. Namun jika dibawa berbahas, mahasiswa sanggup berdepan. Begitulah keyakinan mahasiswa mendokong kepercayaan mereka. Mereka kagum kepada slogan ‘Student Power’.

Tidak seperti hari ini, ada universiti memasang alat pengesan kehadiran mahasiswa ke kelas. Ini untuk mengelakkan daripada mahasiswa tidak hadir kelas. Bermakna mahasiswa hadir kelas kerana sistem paksaan. Jika gagal memenuhi syarat tersebut, mereka akan dihalang mengambil peperiksaan. Mahasiswa diancam dengan sistem yang menggunakan teknologi. Hari-hari diburu. Mahasiswa menjadi mangsa kecanggihan teknologi.

Di Pasir Mas, saya bertugas dengan seorang mahasiswa Akademik Islam membantu Setiausaha Jentera Pilihanraya Parlimen Pasir Mas. Beliau seorang yang sangat berdisiplin dan tegas dalam bekerja. Kami tidak dibenarkan keluar daripada markaz dan segala urusan makan minum disediakan di markaz itu juga. Kami tidur dan bekerja di tempat yang sama tanpa hawa dingin. Markaz itu panas dan kecil pula.

Manakala mahasiswa lain ditugaskan di merata tempat bukan sahaja di Kelantan tetapi di Perak, Selangor, Terengganu dan sebagainya.

Sewaktu saya bertanding di Dun Sungai Manik pada 1999 dan parlimen Pasir Salak pada 2004, memang jentera kami dibantu oleh mahasiswa daripada pelbagai universiti. Bukan sahaja Pas yang memafaatkan tenaga mahasiswa universiti. Umno juga menggunakan kaedah yang sama. Bahkan dalam banyak hal, Umno melalui Pemuda Umno dan Puteri Umno terang-terang menggunakan mahasiswa.

Kami terpaksa bekerja secara underground. Tidak mahu dikesan oleh pihak universiti atau pihak berkuasa.
Walaupun kami diberikan permit bekerja melalui borang A yang dibekalkan kepada setiap petugas parti.
Tugas kami ialah menaip dan lebih kepada kerja-kerja pentadbiran seperti menyediakan borang permit ceramah, borang PACA dan segala macam dokumen yang perlu diisi. Agihan risalah, poster, badge dan segala macam kelengkapan mesti melalui pihak kami. Menyusun jadual kempen, ceramah kelompok, ceramah umum, ziarah dan sebagainya.

Ketika kempen pilihanraya itu, pimpinan mahasiswa secara terbuka berkempen atas program yang dinamakan ‘Pentas Mahasiswa’. Pada masa itu, Presiden PMUM, Ustaz Zulkifli Muhamad hadir berucap. Turut serta ialah Che Johan Che Pha, Saifuddin Nasution dan beberapa pimpinan mahasiswa lain. Mereka tidak takut tindakan oleh universiti. Mereka tidak kempen pengundi menyokong mana-mana calon yang bertanding tetapi secara keseluruhannya isi kempen adalah menolak calon kerajaan.

Dalam tempoh selama dua minggu itu, sebagai petugas kami tidak berkesempatan untuk meninjau suasana kempen pilihanraya di kampong-kampong atau di bandar. Kami hanya terkurung dalam markaz yang sentiasa dikunjungi oleh orang ramai. Masa itu tiada televisyen, tiada handphone. Mereka datang bersembang dan makan-makan.

Selama dua minggu itu adalah satu kursus yang cukup bermakna bagaimana untuk mengendalikan jentera pilihanraya. Kami dilatih bekerja dengan sumber yang sangat terhad. Perlu kreatif dan sabar menangani kerenah orang kampong dan penyokong parti. Mereka bukan hendak duit tetapi kebanyakan datang hendak poster untuk ditampal. Sedangkan poster terhad. Sepanjang kami di markaz itu, ada petugas khas yang menyediakan makan minum kami. Puas saya makan budu hari-hari. Namun kami tidak pernah merungut tentang kekurangan yang ada.

Beberapa bulan sebelum peperiksaan, saya menerima surat tunjuk sebab kerana kehadiran ke kelas tutorial saya tidak cukup. Ini adalah kerana dua minggu lebih tidak hadir kelas semasa kempen pilihanraya umum di Pasir Mas menjejaskan jumlah minima syarat menduduki peperiksaan. Kami terpaksa bertemu dengan Dekan Fakulti ketika itu, Prof. Shamsul untuk merayu diberikan kebenaran untuk menduduki peperiksaan.

Prof. Shamsul bertanya samada kami bersedia untuk menduduki peperiksaan atau tidak. Tentulah kami jawab, kami bersedia. Tanpa banyak soal, beliau menurunkan tandatangan menyokong untuk kami menduduki peperiksaan.

Salah satu pemikiran yang wujud dalam pemikiran kepimpinanan universiti bahawa idealisme perjuangan mereka lebih penting dari pelajaran mereka. Ini menyebabkan terdapat pimpinan pelajar terkandas pengajiannya akibat tidak memberi tumpuan terhadap pengajiannya. Ada yang dibuang, ada yang dihalang menduduki peperiksaan dan ada yang gagal dalam peperiksaan.

Pemikiran sebegini bukan sahaja ada pada mahasiswa yang aktif dengan Pas tetapi juga yang terlibat dengan jemaah Islam lain. Ada yang menanggap bahawa pengajian di universiti sesuatu yang sia-sia. Ada yang sengaja mencipta pelbagai alasan kegagalan mereka dalam pengajian di universiti bagi menutup kelemahan diri mengimbangi antara aktivitisme mahasiswa dengan pelajaran.